Monday, October 18, 2010

Karnival Kampus 2010 USMKK



KUBANG KERIAN 14 Okt. - Karnival Kampus 2010 telah berlangsung di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian selama tiga hari berturut-turut bermula hari Khamis sehingga Sabtu yang lepas. Karnival tersebut merupakan sebuah projek anjuran Majlis Perwakilan Pelajar USMKK dan telah melibatkan hampir keseluruhan warga kampus dan juga terbuka untuk masyarakat luar. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah, telah dijemput untuk merasmikan Majlis Perasmian Karnival Kampus 2010 yang berlansung pada jam 2.00 hingga 5.00 petang di perkarangan Dewan Utama USMKK diiringi konvoi perarakan basikal dan beca.

Pada sebelah malamnya, Dato’ Saifuddin telah menjadi panel bagi forum bicara siswa yang bertajuk, ‘Rejuvenasi Mahasiswa : Bermulanya Nafas Baru Mahasiswa Berasaskan Transformasi’ bersama dua orang ahli panel yang lain iaitu, Saudara Mohammad Shafiq bin Abdul Aziz, pembawa idea penubuhan Parlimen Mahasiswa dan Saudari Siti Aminah Alawiyah Md Mukhtar, Setiausaha 2 Majlis Perwakilan Pelajar USMKK. Antara persoalan yang telah dikupas oleh Saudara Mohammad Shafiq adalah ‘Perbandingan Mahasiswa Dahulu dan Kini pada Kacamata Hari Ini’ dan Saudari Siti Aminah Alawiyah pula mengenai ‘Mahasiswa Hari Ini yang Lesu, Tidak Bermaya, dan Perlu Diketuk Baru Bergerak’.

Karnival yang sebelum ini dikenali sebagai Ekspo Kampus telah diberi nafas baru dengan tambahan satu lagi komponen iaitu Usahawan Lestari bersama tiga lagi komponen lain yang masih kekal seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu Hari Terbuka Desa, Pameran Kesihatan/Healthex dan Kuiz Sains Kesihatan. Komponen Usahawan Lestari itu merupakan salah satu usaha untuk membawa kepada penghayatan yang lebih menyeluruh mengenai konsep kelestarian oleh seluruh warga Kampus Kesihatan serta masyarakat setempat. Antara sub komponen yang diletakkan dibawah komponen ini adalah Pasar Pelajar, Flora dan Fauna, Pameran Buku serta Pameran ICT.

Sambutan yang menggalakkan telah diterima daripada masyarakat setempat yang turut hadir samada menjadi penggerai, terlibat dengan pameran mahupun sebagai pengunjung. Justeru, diharapkan karnival pada tahun akan datang dapat menerapkan lebih banyak nilai-nilai kelestarian selaras dengan aspirasi Universiti Sains Malaysia supaya nilai-nilai ini bukan sahaja dapat diamalkan oleh warga kampus, tetapi juga dapat diterapkan dengan lebih meluas kepada masyarakat.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More