Monday, November 8, 2010

I’m In Control tangani masalah seksual

Remaja hari ini cukup terganggu secara fizikal, mental, emosi dan spiritual dengan pelbagai kegiatan jenayah yang berlaku hampir setiap hari.

Kebanyakannya memfokuskan kepada remaja dan masalah sosial itu tiada hentinya untuk dibicarakan. Kesedaran remaja dalam menangani masalah seksualiti seperti jangkitan tularan seksual, gangguan seksual, penderaan dan rogol sejak akhir-akhir ini juga semakin terhakis.

Mereka mengabaikan tanggungjawab tersebut dengan alasan ia tidak penting dalam menerajui arus kemodenan dewasa ini terutama dalam menangani gejala negatif seumpama itu.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini pelajar Kolej Komuniti Temerloh menganjurkan bengkel I’m In Control dalam usaha meningkatkan kesedaran remaja dalam membuat tindakan bijak menangani isu-isu itu di persekitaran mereka.

Program julung-julung kali diadakan itu dianjurkan secara bersama Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara Pahang (LPPKN), Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dan Pusat Kesedaran Wanita itu

Antara kandungan bengkel ini menumpukan kepada nilai dan tanggungjawab seksualiti, tingkah laku yang membawa risiko kehamilan, penyakit HIV dan AIDS.

Pengarah Kolej Komuniti Temerloh, Abdul Razak Sabtu berkata, program ini memberi pendedahan awal kepada pelajar Kolej Komuniti yang terdiri daripada remaja.

“Mereka adalah golongan yang sering terdedah kepada tingkahlaku yang menjerumuskan mereka dalam kes pembuangan bayi, melakukan hubungan seks bebas atau seks songsang.

“Melalui pendekatan ini, kita harap mereka akan sedar dan menjauhi diri daripada terlibat dengan gejala moral tersebut,” katanya.

Abdul Razak mengulas lanjut, program yang dilaksanakan LPPKN akan didedahkan kepada sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Pengisian modul akan dimantapkan pada masa depan melalui maklum balas dan penilaian yang diterima daripada para peserta serta fasilitator,” katanya.


Artikel disediakan oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK (Kampus@utusan.com.my).


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More