Wednesday, November 10, 2010

SISTEM ROBOTIK DALAM AIR USM: Inovasi Tempatan Untuk Pelbagai Tujuan

Gambar : Inovasi sistem robotik dalam air, IHUV, yang pertama hasil ciptaan saintis tempatan dari USM.


PULAU PINANG, 9 NOV: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah apabila berjaya menghasilkan sistem robotik dalam air yang bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pertahanan negara malah juga menggiatkan lagi perkembangan industri perkapalan dan penyelidikan marin.

Sistem robotik berkenaan, ‘Intelligent Hybrid Underwater Vehicle’ atau juga dikenali sebagai IHUV berupaya menyelam sehingga pada kedalaman 100 meter untuk tujuan pemantauan dan pemetaan dasar laut dan mengimbas sebarang objek pada jarak sejauh 200 meter.

Tambah menarik lagi, IHUV yang dihasilkan oleh Prof. Madya Mohd Rizal Arshad dari Kumpulan Penyelidik Robotik Dalam Air, Pusat Pengajian Elektrik dan Elektronik, Kampus Kejuruteraan USM ini mampu beroperasi secara bebas tanpa perlu dikawal secara manual oleh penggunanya.

“IHUV beroperasi dengan menggunakan kuasa bateri yang mampu bertahan sehingga lebih dari 6 jam dan berupaya memberikan imej pengimbasan maya dalam bentuk 3 dimensi bentuk muka bumi serta objek-objek lain yang diimbas sewaktu beroperasi.

“Inilah teknologi pertama yang dihasilkan oleh penyelidik tempatan yang dilihat berupaya untuk membantu negara dalam pelbagai jenis aplikasi. Ianya sesuai untuk digunakan sebagai robot peninjau dalam membantu operasi ketenteraan dan juga boleh membantu di dalam pelbagai bentuk proses pengutipan data yang melibatkan ekosistem dan perubahan bentuk muka bumi perairan negara,”kata beliau ketika mengadakan sidang media di USM hari ini.

Dengan jangkaan nilai kos penghasilan sekitar RM3 juta, IHUV juga dilihat sebagai alternatif yang jauh lebih murah berbanding mana-mana produk buatan negara asing yang berada pada harga jualan sekitar RM29 juta di pasaran komersil.

Selain IHUV, Prof. Madya Mohd Rizal dan pasukan penyelidik beliau yang terdiri daripada enam orang pensyarah dan 20 orang pelajar Pusat Pengajian Elektrik dan Elektronik serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal turut menghasilkan lima lagi sistem robotik dalam air yang lain termasuk sistem perisian khas bagi kegunaan yang pelbagai.

Menurut beliau, sistem robotik berkenaan yang dikenali sebagai ‘Autonomous Surface Vessel (ASV) Platform’,’Small Class Inspection Remotely Operated Vehicle’ (SCIROV), ‘Autonomous Underwater Vertical Profiler’ (AUVeP) dan ‘Underwater Glider Platform’ mampu memenuhi keperluan negara untuk menjadi peneraju di dalam penerokaan marin dan oseanografi.

‘ASV dan SCIROV dihasilkan dengan tujuan yang hampir sama dengan IHUV tetapi lebih sesuai diguanakan di kawasan perairan yang lebih cetek. Selain mampu mengutip data di perairan negara, ASV dan SCIROV juga boleh digunakan menggiatkan pembangunan industri perkapalan negara contohnya bagi memeriksa keretakan pada badan kapal besar (hull cracking) dalam masa yang singkat berbanding kaedah sedia ada yang memerlukan kapal dinaikkan ke dok sehingga tempoh dua bulan untuk pemeriksaan yang sama.

‘AUVeP dan ‘Underwater Glider Platform’ pula akan memungkin aktiviti pengutipan data seperti kemasinan dan suhu air laut pada kedalaman yang tertentu. Ini akan memungkinkan aktiviti pengutipann data untuk pelbagai tujuan penyelidikan yang boleh digunakan untuk pemantauan ekosistem dan perancangan polisi marin yang bersesuaian,” tegas beliau.

Penyelidikan beliau ini bermula sejak tahun 2007 dengan geran penyelidikan bernilai RM4.2 juta oleh Direktorat Oseanografi Kebangsaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More