Showing posts with label Pencapaian. Show all posts
Showing posts with label Pencapaian. Show all posts

Wednesday, December 15, 2010

4 Pelajar USM Dihargai

PULAU PINANG 14 Dis. - Seramai empat pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menerima Anugerah Naib Canselor bagi mengiktiraf pengetahuan dan penyelidikan yang dijalankan oleh mereka di universiti itu.

Mereka ialah Lim Way Foong dan Quah Hock Jin dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Chang Kah Haw dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan serta Lam Man Kee dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.

Mereka bakal menerima pembiayaan yuran pengajian penuh dan peperiksaan untuk tempoh maksimum selama tiga tahun serta elaun bulanan berjumlah RM3,000.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pada majlis Malam Persada Kencana yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Way Foong ketika ditemui berkata, anugerah yang diterimanya itu merupakan hasil kesungguhan beliau untuk maju dalam hidupnya terutama mencapai kedudukan terbaik dalam akademik dan penyelidikan.

''Saya amat menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak universiti.

''Dengan anugerah yang diterima ini saya berjanji akan melakukan kerja bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang dalam bidang penyelidikan berkuasa tinggi yang sedang saya jalankan dalam tempoh dua tahun ini," katanya.

Menurutnya, penyelidikannya bertajuk 'Investigation of CexLayOz Thin Film On SIC' itu bertujuan untuk mencari bahan baru yang boleh digunakan di dalam aplikasi peralatan elektrik berkuasa tinggi yang sekali gus dapat mengurangkan kehilangan tenaga.

Rakannya, Kah Haw pula berkata, bantuan kewangan yang bakal diterima akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan membeli bahan-bahan bacaan berkaitan bidang sains forensik.

''Saya menjalankan kajian terhadap kesan sisa-sisa lepasan tembakan senjata api yang boleh membantu pihak Polis dan Jabatan Kimia menjalankan siasatan.

''Dengan bantuan yang saya terima ini pastinya ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan yang saya tanggung di sepanjang tempoh pengajian ini," katanya.

SUMBER : Utusan Malaysia, 15 Oktober 2010


Wednesday, November 10, 2010

USM RAIH SEMBILAN ANUGERAH DI BIO MALAYSIA 2010

Gambar : Prof. Asma Ismail (tiga dari kiri) bersama pasukan penyelidik USM dengan anugerah yang diterima di Pameran Bio Malaysia 2010.

PULAU PINANG, NOV 4: Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat kejayaan 100% apabila berjaya meraih sembilan anugerah hasil penyertaan di Pameran Bio Malaysia 2010.

Dalam pertandingan yang berlangsung pada 1-3 November 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini, USM merangkul empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa menerusi lapan produk penyelidikan yang dipertandingkan di dalam lima kategori iaitu pertanian/industri berasaskan pertanian, penyelidikan industri, penyelidikan perubatan, farmaseutikal dan kesihatan serta dari buangan ke penjanaan kekayaan.

Selain itu, USM turut meraih Anugerah Khas ‘Most Creative Booth’ hasil gabungan konsep dan idea dua pensyarah Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Prof. Madya Aldrin Abdullah dan Prof. Madya Azizi Bahauddin.

Pameran Bio Malaysia 2010 dirasmikan oleh Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan disertai oleh lebih 200 orang penyelidik dari seluruh negara.

Keputusan penuh penyertaan USM adalah seperti berikut:

EMAS

PRODUK: EzGenostick: A Rapid Universal Kit for PCR Amplicon Detection

PENYELIDIK: Lim Boon Huat, Dr. , P.P. Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan

PRODUK: Haruan Wound Spray

PENYELIDIK: Saringat Bai @ Baie, Prof., P.P. Sains Farmasi, Kampus Induk

PRODUK: A Quick Verification/ Differentiation Method of Fresh/ Minced Chicken and Pork Meat

PENYELIDIK: Azhar Mat Easa, Prof., P.P. Teknologi Industri, Kampus Induk

PRODUK: Meli-Dot Enzyme Immunoassay kit

PENYELIDIK: Zainoodin Sheik Abdul Kader, Dr. , Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT)

PERAK

PRODUK: ManjaProtect

PENYELIDIK: Hasmah Abdullah, Dr., P.P. Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan

PRODUK: ‘Nutri-Mushroom Patty’

PENYELIDIK: Wan Rosli Wan Ishak, Dr., P.P. Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan

GANGSA

PRODUK: A Microbial-Enhanced Crude Oil Distillation Process

PENYELIDIK: Ahmad Ramli Mohd Yahya, Dr., P.P. Sains Kajihayat, Kampus Induk

PRODUK: SA-Cleanse: A New Herbal Mouthwash That Can Potentially Be Used As A Chemopreventive Agent

PENYELIDIK: Md Azman PKM Seeni Mohamed,Dr., P.P. Sains Pergigian, Kampus Kesihatan

ANUGERAH KHAS ‘MOST CREATIVE BOOTH’

Aldrin Abdullah, Prof. Madya Dr. & Azizi Bahauddin, Prof. Madya Dr.

P.P. Perumahan, Bangunan & Perancangan,

Kampus Induk


SISTEM ROBOTIK DALAM AIR USM: Inovasi Tempatan Untuk Pelbagai Tujuan

Gambar : Inovasi sistem robotik dalam air, IHUV, yang pertama hasil ciptaan saintis tempatan dari USM.

PULAU PINANG, 9 NOV: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah apabila berjaya menghasilkan sistem robotik dalam air yang bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pertahanan negara malah juga menggiatkan lagi perkembangan industri perkapalan dan penyelidikan marin.

Sistem robotik berkenaan, ‘Intelligent Hybrid Underwater Vehicle’ atau juga dikenali sebagai IHUV berupaya menyelam sehingga pada kedalaman 100 meter untuk tujuan pemantauan dan pemetaan dasar laut dan mengimbas sebarang objek pada jarak sejauh 200 meter.

Tambah menarik lagi, IHUV yang dihasilkan oleh Prof. Madya Mohd Rizal Arshad dari Kumpulan Penyelidik Robotik Dalam Air, Pusat Pengajian Elektrik dan Elektronik, Kampus Kejuruteraan USM ini mampu beroperasi secara bebas tanpa perlu dikawal secara manual oleh penggunanya.

“IHUV beroperasi dengan menggunakan kuasa bateri yang mampu bertahan sehingga lebih dari 6 jam dan berupaya memberikan imej pengimbasan maya dalam bentuk 3 dimensi bentuk muka bumi serta objek-objek lain yang diimbas sewaktu beroperasi.

“Inilah teknologi pertama yang dihasilkan oleh penyelidik tempatan yang dilihat berupaya untuk membantu negara dalam pelbagai jenis aplikasi. Ianya sesuai untuk digunakan sebagai robot peninjau dalam membantu operasi ketenteraan dan juga boleh membantu di dalam pelbagai bentuk proses pengutipan data yang melibatkan ekosistem dan perubahan bentuk muka bumi perairan negara,”kata beliau ketika mengadakan sidang media di USM hari ini.

Dengan jangkaan nilai kos penghasilan sekitar RM3 juta, IHUV juga dilihat sebagai alternatif yang jauh lebih murah berbanding mana-mana produk buatan negara asing yang berada pada harga jualan sekitar RM29 juta di pasaran komersil.

Selain IHUV, Prof. Madya Mohd Rizal dan pasukan penyelidik beliau yang terdiri daripada enam orang pensyarah dan 20 orang pelajar Pusat Pengajian Elektrik dan Elektronik serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal turut menghasilkan lima lagi sistem robotik dalam air yang lain termasuk sistem perisian khas bagi kegunaan yang pelbagai.

Menurut beliau, sistem robotik berkenaan yang dikenali sebagai ‘Autonomous Surface Vessel (ASV) Platform’,’Small Class Inspection Remotely Operated Vehicle’ (SCIROV), ‘Autonomous Underwater Vertical Profiler’ (AUVeP) dan ‘Underwater Glider Platform’ mampu memenuhi keperluan negara untuk menjadi peneraju di dalam penerokaan marin dan oseanografi.

‘ASV dan SCIROV dihasilkan dengan tujuan yang hampir sama dengan IHUV tetapi lebih sesuai diguanakan di kawasan perairan yang lebih cetek. Selain mampu mengutip data di perairan negara, ASV dan SCIROV juga boleh digunakan menggiatkan pembangunan industri perkapalan negara contohnya bagi memeriksa keretakan pada badan kapal besar (hull cracking) dalam masa yang singkat berbanding kaedah sedia ada yang memerlukan kapal dinaikkan ke dok sehingga tempoh dua bulan untuk pemeriksaan yang sama.

‘AUVeP dan ‘Underwater Glider Platform’ pula akan memungkin aktiviti pengutipan data seperti kemasinan dan suhu air laut pada kedalaman yang tertentu. Ini akan memungkinkan aktiviti pengutipann data untuk pelbagai tujuan penyelidikan yang boleh digunakan untuk pemantauan ekosistem dan perancangan polisi marin yang bersesuaian,” tegas beliau.

Penyelidikan beliau ini bermula sejak tahun 2007 dengan geran penyelidikan bernilai RM4.2 juta oleh Direktorat Oseanografi Kebangsaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More