Showing posts with label IPTA. Show all posts
Showing posts with label IPTA. Show all posts

Friday, January 28, 2011

USM tawar 120 tempat di India

PULAU PINANG 27 Jan. - Universiti Sains Malaysia menawarkan 120 tempat kepada penuntut baru yang mengikuti kursus ijazah doktor perubatan untuk melanjutkan pengajian di Belgaum, Bangalore, India.

Naib Canselornya, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, mereka yang bakal terpilih merupakan kumpulan kedua dihantar ke sana menerusi program kerjasama USM dengan Universiti Karnataka Linggayat Education (KLE).

"Kali pertama kumpulan pelajar dihantar ke sana adalah pada September tahun lalu yang melibatkan seramai 43 orang pelajar.

"Tahun ini kita ingin menghantar lebih ramai pelajar memandangkan kemudahan pembelajaran dan tempat tinggal yang disediakan di sana baik dan mencukupi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, pengalaman KLE terlibat dalam pendidikan perubatan selama 95 tahun sudah cukup membuktikan standard kualiti yang disediakan di situ.

"Di sini juga mempunyai hospital latihan sendiri yang boleh memuatkan 500 katil, selain turut menggunakan hospital-hospital terdekat untuk tujuan latihan," katanya lagi.

Permohonan untuk mengikuti pengajian ini akan dibuka pada 12 Mac sehingga 25 Mei ini.

Orang ramai yang berminat boleh melayari laman web USM, www.usm.my untuk mendapatkan maklumat lanjut serta syarat-syarat kelayakan.


Hubungan Rapat Universiti-Sektor Korporat Tingkat Pasaran Kerja Graduan

SERDANG: Institusi pengajian tinggi perlu mempunyai hubungan rapat dengan sektor korporat agar graduan mempunyai nilai pasaran yang baik dalam sektor pekerjaan, kata Pengarah Urusan RHB Bank, Datuk Tajuddin Atan.

Beliau yang juga bekas pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) sekitar tahun 1980-an dan merupakan ahli Persatuan Alumni UPM berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak membolehkan masing-masing bertukar-tukar kepakaran sekali gus meningkatkan nilai pasaran graduan yang dihasilkan.

"Aktiviti antara universiti dan badan korporat perlu digalakkan untuk membantu graduan mempunyai pasaran pekerjaan dalam sektor tertentu.

"Hubungan yang rapat antara universiti dengan sektor korporat boleh memberi ruang kepada mereka untuk bertukar pandangan. Ini membolehkan graduan berpeluang menghadapi dunia pekerjaan sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum yang bertajuk 'Leading Corporate Malaysia' anjuran Yayasan Pak Rashid UPM di sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor UPM Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi.

Turut hadir, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba yang merupakan Naib Canselor UPM pertama (1971-1982) dan Pengarah Pusat Alumni UPM, Dr Rohani Ibrahim.

Dalam syarahan itu Tajuddin berkongsi pandangannya mengenai aspek yang diperlukan untuk memimpin sebuah organisasi di negara ini, mengupas persaingan sengit dalam industri yang menuntut pemimpin mempunyai pelbagai kemahiran dan bakat.

Beliau turut menyentuh perlunya budaya kerja berasaskan prestasi selain menekankan betapa pentingnya aspek pengurusan modal insan dalam organisasi syarikat.

Katanya, dalam menguruskan perubahan modal insan, majikan-majikan mesti menggunakan pendekatan berbeza untuk mengendali pekerja Generasi X dan Generasi Y.

Generasi X, menurut beliau, ialah istilah yang menghuraikan mereka yang dilahirkan antara 1960 hingga 1980 manakala Generasi Y ialah mereka yang dilahirkan pada era 1980-an dan kini berumur dalam lingkungan 20-an dan baru sahaja terlibat dalam sektor pekerjaan.

"Untuk pekerja-pekerja Generasi X, aspek mendorong minat dalam pekerjaan ialah gaji yang baik, faedah-faedah, kuasa dan kelonggaran. Ia berbeza untuk Generasi Y yang memilih tempat kerja menarik, pampasan segera dan keputusan pantas," katanya.

Tambah Tajuddin, majikan tidak boleh mengetepikan keperluan, keinginan dan sikap generasi Y kerana mereka merupakan tenaga kerja yang cepat berkembang pada masa kini.

Justeru, beliau berkata, melalui dialog antara universiti dan sektor korporat, kedua-dua pihak dapat menyedari dan membantu menguruskan perubahan yang berlaku.

Sementara itu, Datuk Ir Dr Radin Umar berkata syarahan itu bukan sekadar untuk menambah pengetahuan semata-mata malah ia perlu dijadikan sebagai motivasi untuk membentuk individu yang boleh memacu sektor korporat pada masa hadapan.


TITAS Perlu Kaedah Baru Tarik Minat Pelajar

SERDANG: Pengajar kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di institusi pengajian tinggi digesa meningkatkan keupayaan serta mencari kaedah penyampaian baru bagi menyemai minat pelajar terhadap kursus tersebut.

Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Induk TITAS Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof Madya Dr Zaid Ahmad berkata, kursus TITAS tidak semestinya meliputi isu sejarah semata-mata sebaliknya perlu meliputi elemen ketamadunan yang relevan pada masa kini.

Perkara itu menurutnya boleh menarik minat para pelajar dalam subjek tersebut seterusnya menyemai sikap saling faham-memahami serta hormat-menghormati dalam masyarakat negara ini yang berbilang etnik, budaya dan agama.

"Saya berpendapat kursus ini perlu menjadi semasa, relevan dan dinamik. Ini selari dengan perspektif kajian ketamadunan itu sendiri yang mengetengahkan ketamadunan masa lalu, masa kini dan masa depan.

"Kita ingin berbincang tentang isu masa kini, dan apa yang akan terjadi pada masa hadapan," katanya ketika berucap merasmikan bengkel Training of Trainers TITAS Siri 1/2011) di sini baru-baru ini.

Bengkel tersebut yang julung kali dianjurkan oleh UPM dengan kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi, KPT bertujuan untuk meningkatkan keupayaan serta mencari kaedah baru yang boleh memberi nilai tambah dalam penyampaian kursus itu.

ToT TITAS 2011 disertai oleh 94 peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar subjek TITAS di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Bengkel dirasmikan oleh Pengarah Pengurusan Pembangunan Akademik Jabatan Pengajian Tinggi KPT, Prof Madya Dr Zarida Hambali.

Mengulas mengenai ToT TITAS 2011, Prof Madya Dr Zaid yang juga pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia UPM berharap ia dapat mencetuskan motivasi bagi merangsang kecemerlangan minda dan seterusnya melahirkan tenaga pengajar TITAS yang berwibawa.

"Saya berharap penganjuran program ini dapat memberi dorongan kepada semua pengajar kursus TITAS untuk melipatgandakan usaha ke arah kelangsungan kursus ini," katanya.


Monday, January 24, 2011

Kuasa Autonomi & Parlimen Pelajar Untuk IPTA

PUTRAJAYA: Universiti awam digalak agar menubuhkan parlimen pelajar sebagaimana yang telah dirintis oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya sebahagian besar IPTA berjaya membentuk parlimen pelajar mereka sendiri, pihak kementerian tidak teragak-agak untuk memberi kebenaran agar satu platform yang sama dibentuk di peringkat kebangsaan suatu masa nanti.

Katanya, USM telah membuka jalan dengan memperkenalkan projek rintis parlimen pelajar dan universiti-universiti awam yang lain juga digalakkan supaya mengikuti jejak langkah yang sama.

Beliau menjelaskan, sebuah parlimen pelajar di peringkat kebangsaan mungkin boleh dipertimbangkan jika 75% daripada IPTA telah membentuk parlimen pelajar di peringkat universiti masing-masing.

"Kita sedar keperihatinan pelajar ke atas pembangunan negara kini semakin tinggi dan kita sememangnya mahu menggalakkan semangat ini. Dan ini boleh dilakukan menerusi parlimen pelajar di peringkat kebangsaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baru kementerian berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Isnin.

Bagaimanapun katanya, pelajar universiti mestilah membuktikan bahawa mereka mampu berhujah berasaskan fakta dan bukannya emosi.

Buat masa ini, hanya USM – yang juga merupakan universiti Apex - adalah satu-satunya universiti awam di negara ini yang memperkenalkan parlimen pelajar. Sementara itu, dalam ucapan amanatnya, Mohamed Khaled berkata, pihak kementerian akan memberi lebih banyak kuasa autonomi kepada universiti awam yang benar-benar bersedia untuk beroperasi secara autonomi.

Katanya, setiap universiti akan dnilai keupayaan untuk beroperasi secara autonomi berasaskan empat perkara:

(i) Urus tadbir;

(ii)Pencapaian akademik & kemasukan pelajar;

(iii) Kewangan & penjanaan pendapatan dan;

(iv) Sumber manusia.

Menurut Khaled, adalah disasarkan, menjelang tahun 2015, semua universiti penyelidikan (UP) akan mendapat autonomi penuh daripada kementerian. Selain itu, kementerian juga sedang menimbang untuk menaiktaraf dan memberikan autonomi tertentu kepada empat (4) buah kampus cawangan UiTM.

"Saya juga berharap beberapa pusat tanggungjawab (PTJ) seperti pusat-pusat perubatan universiti atau institusi–institusi penyelidikan penting di universiti dalam kumpulan HiCOE dapat diberikan autonomi oleh universiti berkaitan.

"Ini akan mengupayakan institusi ini bersaing di peringkat antarabangsa dan memberi ruang dan nafas baru kepada mereka untuk lebih memacu ke hadapan dan progresif, "ujarnya.

Namun kata Khaled, perlu diingat bahawa autonomi bukanlah bermakna mendapat kuasa mutlak tanpa kebertanggungjawaban.

"Jika kita menghayati peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebenarnya, ia secara nyata dan jelas menyebut bahawa kuasa utama dalam pentadbiran universiti adalah terletak pada Lembaga Pengarah, Senat, Fakulti dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan.

"Peruntukan ini dengan jelas menyatakan bahawa segala tanggungjawab dalam membuat keputusan hendaklah secara bersama dan kolektif. Ini kerana sifat universiti itu sendiri yang harus didasari oleh apa yang saya sebut dalam amanat tahun baharu 2010 tahun lalu iaitu collegiality atau semangat bermuafakat.

"Dan saya percaya, muafakat akan mengukuhkan solidariti dalam universiti dan memberikan kewibawaan kepada setiap keputusan mereka. Saya percaya usaha memberi universiti autonomi hanya akan berjaya jika budaya collegiality ini menjadi teras utama dalam setiap keputusan universiti," jelas beliau lagi.


13 IPT sertai pertandingan nyanyian lagu puisi

KUANTAN 23 Jan. - Sebanyak 13 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berentap dalam Pertandi ngan Nyanyian Lagu Puisi antara IPTA 2011 di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, hari ini.

Pertandingan tersebut diadakan sempena pelancaran Kempen Kami Prihatin 'Apakah Dosa' Peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) yang akan diadakan esok.

Universiti yang bertanding adalah Universiti Malaya (UM); Universiti Malaysia Perlis (Unimap); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Utho); Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem); Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Turut serta ialah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); UMP dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pemenang pertama pertandingan akan memenangi hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

"Tempat kedua akan menenangi wang tunai RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000 beserta trofi dan juga sijil penyertaan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah beliau, keputusan pertandingan dan hadiah kemenangan akan disampaikan pada pelancaran kempen tersebut yang akan dirasmikan oleh Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut beliau, pertandingan itu merupakan kesinambungan program bagi menyokong pelaksanaan program tersebut kepada generasi baru khususnya pelajar sekolah dan mahasiswa IPT.

"Pertandingan puisi itu berkonsepkan kemanusiaan dan hanya puisi yang dicipta sendiri atau dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sahaja yang digunakan oleh para peserta," jelasnya.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More