PULAU PINANG 28 Sept. - Universiti Sains Malaysia (USM) yakin pembukaan kafe 'Anjung Semarak' di tengah-tengah pusat pengajian itu berpotensi menjadi ikon keilmuan yang boleh dicontohi oleh institusi pengajian tinggi lain di negara ini berikutan gabungan keunikan konsepnya. Naib Canselornya, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, Anjung Semarak bukan sekadar menghidangkan juadah kepada pengunjung Taman Buku USM (Book Garden) yang terkenal sebagai pembekal buku-buku ilmiah untuk keperluan warga universiti, malah menjadi lokasi penganjuran aktiviti keilmuan dalam pelbagai bidang. ''Aktiviti ini boleh dipelbagaikan seperti diskusi buku, forum mini, deklamasi sajak, puisi serta sudut pameran hasil seni yang mampu menjadikan mereka yang mengunjunginya sentiasa dekat dengan ilmu. ''Jika ini boleh kita lakukan, Anjung Semarak mampu menjadi ikon ilmu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada mahasiswa dan staf universiti ini malahan semua anggota masyarakat yang berkunjung ke kampus ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Anjung Semarak di sini baru-baru ini. Pada majlis itu, perjanjian persefahaman (MoU) di antara Koperasi Universiti Sains Malaysia Berhad (KUSMB) dengan Pusat Giat Mara Balik Pulau dan syarikat pembekal makanan, AZLA Management Sdn. Bhd. turut dimeterai. Ia bertujuan memastikan operasi kafe terbabit lancar dari aspek penyediaan kepakaran memasak dan penyediaan serta bahan mentah. USM diwakili Pengerusi Lembaga Pengarah KUSMB, Prof. Madya Mohamad Suhaimi Jaafar manakala GiatMara oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meriyam Abd. Majid dan AZLA pula, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Latif Nabi Bas. Anjung Semarak diusahakan oleh KUSMB yang turut menjadi pengusaha Taman Buku, Kedai Mahasiswa dan Kedai Farmasi USM. Menurut Dzulkifli, lokasi Anjung Semarak yang strategik jika digabung dengan unsur-unsur berteraskan keilmuan akan memberikan persaingan yang sengit kepada lokasi-lokasi lain di sekitarnya, sekali gus menjadikan industri penyediaan makanan lebih kreatif dan sentiasa mencari jalan untuk lebih maju ke hadapan. Tambah beliau, selain terletak di lokasi persinggahan mahasiswa, Anjung Semarak juga berada di sebelah Pusat Pengajian Seni USM yang secara tidak langsung membolehkan hasil seni mahasiswa dipamerkan untuk tatapan umum. ''Usaha ini akan menggiatkan lagi produk yang dihasilkan oleh mahasiswa di USM kerana mereka tahu hasil karya mereka ini tidak akan hanya tersorok di ruang-ruang pameran malah akan dikongsi bersama masyarakat," katanya.
Wednesday, September 29, 2010
Anjung Semarak jadi pusat ilmu
Wednesday, September 29, 2010
Media Kampus USM