Wednesday, December 15, 2010

Dua Beradik Cacat Terima Kerusi Roda PADUCare

JAFRI Malim Abdullah menyampaikan kerusi roda khas kepada Farawahida Mohd. Zain di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam

BACHOK 14 Dis. – Seorang ibu, Farawahida Mohd. Zain, 34, dari Kampung Tualang Salak di sini, sudah tidak mampu lagi mengalirkan air mata menangisi keadaan dua daripada tiga anaknya yang disahkan mengidap sejenis penyakit metabolik iaitu kerosakan enzim tisu .

Jika kanak-kanak lain seusia dengan mereka sudah bersekolah, tetapi anak sulung Farawahida, Wan Ahmad Baihaqi Wan Hisamidi, 10, hanya mampu terbaring sambil memain-mainkan jari-jarinya sahaja.

Pada ketika lain, dia kelihatan tersenyum dan manja apabila berada di atas ribaan ibunya itu.

Sementara adiknya, Wan Arfah Julaizah, 4, hanya terbaring dan sesekali cuba meniarap seolah-olah seperti bermain-main, bagaimanapun seorang lagi adiknya, Wan Fawawaz Al-Mathuridi, 2, disahkan normal.

Akibat penyakit yang disahkan sejak lahir itu, kedua-dua beradik cacat penglihatan kerana tidak mempunyai selaput mata, bisu, tidak boleh duduk atau berdiri di samping mengalami bantut pertumbuhan tubuh.

Farawahida kerap sayu melihat keadaan kedua anaknya itu, terutama pada waktu hendak tidur, dia pasti teringatkan bagaimana keadaan mereka apabila remaja kelak.

Namun, walaupun mengalami pelbagai kecacatan, kedua-dua beradik itu sebenarnya masih seperti kanak-kanak lain iaitu suka bergurau-senda dan ceria ketika dibawa bersiar-siar.

“Apabila disuap dengan makanan kegemaran mereka iaitu ayam goreng terutama KFC pula, Wan Ahmad Baihaqi dan Wan Arfah Julaizah pasti menunjukkan air muka kegembiraan.

“Dalam apa jua keadaan, saya tidak membezakan kedua-duanya. Saat paling ceria buat mereka selepas dimandikan pada waktu pagi dan petang serta disuapkan makan,” katanya.

Farawahida ditemui semasa menerima dua buah kerusi roda khas berharga RM3,200 sumbangan Tabung Kebajikan dan Pendidikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADUcare) di sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Presiden Persatuan Alumni Doktor USM (PADU), Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah.

Sementara itu, Dr. Jafri Malin berkata, sejak 2001, Tabung PADUcare membelanjakan lebih RM500,000 bagi membiayai pembelian pelbagai peralatan untuk membantu 250 orang pesakit.

SUMBER : Utusan Malaysia, 15 Disember 2010



Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More