Showing posts with label PTPTN. Show all posts
Showing posts with label PTPTN. Show all posts

Wednesday, October 27, 2010

PTPTN boleh guna dokumen perjanjian

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelaskan pemberian wang pinjaman pendahuluan (WPP) yang diagihkan kepada pelajar menggunakan dokumen perjanjian boleh digunakan bagi tujuan perundangan untuk menuntut bayaran balik pinjaman.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata dokumen berkenaan mengandungi semua syarat termasuk membayar balik WPP sebelum pelajar boleh menunaikan pinjaman itu di CIMB Bank.

“Pemberian WPP bertujuan membantu pelajar keluarga miskin atau pendapatan kurang RM3,000 sebulan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ia diberi berasaskan data permohonan kemasukan ke IPTA yang diperoleh daripada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) bagi kemasukan Julai dan Disember setiap tahun.

“Walaupun pemberian WPP tidak menggunakan perjanjian, pelajar disyaratkan menandatangani surat setuju terima ketika menunaikan waran WPP,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang mendedahkan pinjaman berjumlah RM4.9 juta diluluskan PTPTN tanpa permohonan pelajar. Selain isu WPP, Audit mendapati 187,540 set dokumen perjanjian PTPTN 2008 dan 2009 belum diproses atau ditandatangani pegawai perbadanan itu.

Ismail berkata, selaras cadangan Audit, PTPTN akan berbincang dengan IPTA untuk memasukkan kenyataan pelajar mahu memohon WPP ketika mengisi borang permohonan ke universiti.

Berhubung kelewatan memproses dokumen perjanjian PTPTN, beliau berkata, ia tidak dapat diproses berikutan sistem pengurusan dokumen mengalami masalah teknikal.

Katanya, menerusi penubuhan pasukan khas pada 27 September lalu, urusan tandatangan kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk dokumen perjanjian itu dapat disiapkan.

“Usaha sedang dilakukan untuk membolehkan tandatangan saksi kumpulan Sokongan 1 disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan dari sekarang. Apabila urusan tandatangan selesai, satu salinan dokumen perjanjian akan dihantar kepada pelajar untuk simpanan,” katanya.

Beliau juga berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan prestasi kutipan balik pinjaman PTPTN dan sehingga 31 Ogos lalu, sejumlah RM1.9 bilion atau 48 peratus daripada RM4 bilion berjaya dikutip.


Tuesday, October 26, 2010

PTPTN atasi lebih separuh masalah dibangkit Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menjelaskan bahawa segala isu kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 mengenai perbadanan itu, lebih separuh telah diselesaikan dan bakinya akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Tiga isu yang dibangkitkan dalam laporan itu ialah berkenaan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP), dokumen perjanjian belum ditandatangani pegawai PTPTN dan jumlah kutipan bayaran balik RM1.51 bilion iaitu hanya 47 peratus daripada jumlah sepatutnya.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said dalam kenyataannya hari ini menjelaskan bahawa walaupun WPP tidak menggunakan perjanjian tetapi pelajar yang ditawar pendahuluan itu disyaratkan menandatangani surat setuju terima semasa menunaikan waran berkenaan.

Katanya, dokumen tersebut boleh digunakan oleh pihaknya bagi tindakan perundangan kerana semua syaratnya dinyatakan secara jelas.

"Bagi pelajar yang memohon dan diluluskan pembiayaan pendidikan PTPTN, potongan untuk bayaran balik WPP akan dibuat mulai semester kedua.

"Selaras dengan cadangan Audit, PTPTN akan mengadakan perbincangan dengan pihak IPTA memasukkan kenyataan bahawa pelajar juga ingin memohon kemudahan WPP semasa mengisi permohonan ke IPTA," katanya.

Menurut Laporan Audit, didapati 3,793 daripada 3,852 penerima WPP berjumlah RM4.9 juta masih tidak dapat dikutip balik. Semakan selanjutnya mendapati tiada perjanjian ditandatangani dengan pelajar bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan kutipan balik WPP dibuat.

Mengenai isu kedua pula, Audit mendapati sejumlah 187,540 set dokumen perjanjian pembiayaan pendidikan atau 82 peratus daripada 227,595 set yang dipulangkan pelajar masih belum ditandatangani oleh pihak PTPTN dan saksinya.

Ismail mengakui ia berlaku kerana sistem pengurusan dokumen yang sepatutnya digunakan tidak dapat disiapkan kerana masalah teknikal.

"Bagaimanapun, masalah itu telah dapat diatasi dan mulai 27 September lalu satu pasukan khas telah diwujudkan. Sehingga hari ini, urusan tandatangan oleh kumpulan Pengurusan dan Profesional bagi 187,540 set dokumen itu telah disiapkan.

"Kini usaha sedang dilakukan untuk membolehkan tandatangan saksi oleh kumpulan Sokongan 1 disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan," katanya.

Sementara itu, mengenai kegagalan kutipan balik pinjaman, Ismail berkata, pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan oleh PTPTN bagi meningkatkan prestasi kutipan hutangnya.

Katanya, sehingga 31 Ogos lalu, sejumlah RM1.959 bilion telah dikutip iaitu 48 peratus daripada jumlah yang sepatutnya sebanyak RM4 bilion.

"Selain itu, PTPTN juga sedang mengadakan perbincangan dengan Lembaga Hasil Dalam Negara untuk membolehkan kewajipan potongan gaji melalui lembaga itu dilaksanakan," katanya.


Defisit PTPTN dijangka RM45.89b

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dijangka mengalami defisit aliran tunai berjumlah RM45.89 bilion sehingga Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, keadaan itu berlaku kerana prestasi bayaran balik oleh para peminjam tidak memuaskan, selain kos pinjaman tinggi iaitu antara 3.6 hingga 5.3 peratus yang terpaksa ditanggung oleh PTPTN.

Jelas laporan itu, prestasi kutipan bayaran balik pinjam pada tahun lalu sekadar 47 peratus iaitu sama dengan pretasi kutipan pada tahun 2007 tetapi lebih rendah berbanding 2008 yang mencatat 48 peratus.

Lebih memburukkan keadaan, tambah laporan itu, 33 peratus peminjam PTPTN yang sepatutnya membayar balik pinjaman mulai tahun 2007 hingga 2009 pula mendapat kemudahan penangguhan bayaran balik.

"Defisit aliran tunai pinjaman pendidikan yang berterusan akan menyebabkan kedudukan kewangan PTPTN terjejas. Badan ini terpaksa bergantung kepada kerajaan bagi meneruskan operasi memberi pinjaman.

"PTPTN perlu meningkatkan prestasi kutipan sehingga 70 peratus pada tahun ini bagi memastikan dana pusingan pinjaman pendidikan dapat terus membiayai pinjaman pelajaran," jelas laporan tersebut.

Dalam pada itu, audit juga mendedahkan 82 peratus daripada 227,595 dokumen perjanjian antara peminjam dan PTPTN bagi tahun 2008 dan 2009 masih belum ditandatangani oleh badan tersebut.

Daripada jumlah tersebut, 124,070 dokumen perjanjian yang belum ditandatangani melibat tahun lalu manakala baki 63,470 dokumen perjanjian lagi adalah untuk tahun 2008.

Pada masa sama, pemeriksaan audit juga mendapati dokumen perjanjian yang belum ditandatangani itu tidak disimpan dengan teratur di Unit Perjanjian PTPTN sehingga boleh mendatangkan pelbagai risiko.

"Perjanjian yang tidak dimeterai itu menyebabkan PTPTN sukar mengambil tindakan penguatkuasaan bayaran balik terhadap peminjam yang ingkar.

"PTPTN perlu melengkapkan perjanjian pinjaman pelajar dengan menandatangani segera supaya tindakan perundangan dapat dikuatkuasakan," jelasnya.


Saturday, July 24, 2010

Relevankah Penggantungan PTPTN Ke Atas Mahasiswa Bermasalah Akademik?

Dalam kita menempuh alam kampus sebagai mahasiswa, kita sentiasa berdepan pelbagai risiko. Sama ada risiko itu berpunca daripada tindakan kita sendiri, ataupun ia berlaku di luar kawalan kita, namun impaknya tetap sama. Hanya kita yang mengalami dan merasainya.

Ada waktunya kita mungkin terjatuh kerana tersalah langkah. Ada waktunya, kita terus tersungkur. Pada masa itu, kita sekali lagi terdesak sama ada untuk bangun atau terus mengalah. Jika kita berusaha untuk bangun dan kembali melangkah, kita mungkin akan berhadapan dengan lebih banyak cabaran.

Soalnya, adakah kita bersedia? Jika ketika kita jatuh, kita dihukum pula, jadi bagaimana kita hendak bangun?

Mungkin inilah dilema yang dihadapi oleh segelintir sahabat kita yang mengalami situasi sudah jatuh ditimpa tangga pula seperti yang digambarkan sebentar tadi. AC ingin mengajak sahabat-sahabat semua untuk menginsafi diri masing-masing dengan mengambil iktibar yang sewajarnya dan pada masa yang sama berkongsi masalah ini dengan hati yang terbuka.

Ketika kita ‘berbelanja mewah’ menggunakan wang pinjaman PTPTN dan biasiswa masing-masing, sebenarnya, ada antara kita yang mengikat perut dan berperang dengan semangat untuk meneruskan pengajian masing-masing kerana pinjaman mereka disekat atau ditahan kerana keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan.

Kita menerima ini sebagai satu bentuk hukuman. Tetapi masihkah ia relevan dalam situasi hari ini? Kita semua tentunya bersetuju bahawa kehidupan sebagai mahasiswa tidak dapat dipisahkan daripada menggunakan wang yang banyak sama ada untuk perbelanjaan diri sendiri ataupun untuk urusan pengajian sehari-hari.

AC bukanlah hendak membela mereka yang membuat salah, tetapi sebagai mahasiswa, terdetik juga barangkali di hati kita ini betapa hukuman sebegitu kelihatan lebih kepada menghukum, bukannya mengatasi puncanya. AC mengambil pendirian bahawa masalah sebegini perlu diatasi di peringkat puncanya, dan bukannya hanya terus mencatas pucuk sebagai satu bentuk hukuman.

Bagaimana golongan pelajar malang ini hendak meneruskan pengajian mereka jika tidak berduit, apatah lagi untuk membaiki keputusan mereka? Motivasi mereka tentunya merudum lebih teruk daripada sentimen penyesalan sendiri. Hendak pinjam? Siapa yang hendak bagi kalau satu semester sentiasa perlu meminjam?


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More