KUALA LUMPUR 26 Okt. - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menjelaskan bahawa segala isu kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 mengenai perbadanan itu, lebih separuh telah diselesaikan dan bakinya akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Tiga isu yang dibangkitkan dalam laporan itu ialah berkenaan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP), dokumen perjanjian belum ditandatangani pegawai PTPTN dan jumlah kutipan bayaran balik RM1.51 bilion iaitu hanya 47 peratus daripada jumlah sepatutnya. Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said dalam kenyataannya hari ini menjelaskan bahawa walaupun WPP tidak menggunakan perjanjian tetapi pelajar yang ditawar pendahuluan itu disyaratkan menandatangani surat setuju terima semasa menunaikan waran berkenaan. Katanya, dokumen tersebut boleh digunakan oleh pihaknya bagi tindakan perundangan kerana semua syaratnya dinyatakan secara jelas. "Bagi pelajar yang memohon dan diluluskan pembiayaan pendidikan PTPTN, potongan untuk bayaran balik WPP akan dibuat mulai semester kedua. "Selaras dengan cadangan Audit, PTPTN akan mengadakan perbincangan dengan pihak IPTA memasukkan kenyataan bahawa pelajar juga ingin memohon kemudahan WPP semasa mengisi permohonan ke IPTA," katanya. Menurut Laporan Audit, didapati 3,793 daripada 3,852 penerima WPP berjumlah RM4.9 juta masih tidak dapat dikutip balik. Semakan selanjutnya mendapati tiada perjanjian ditandatangani dengan pelajar bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan kutipan balik WPP dibuat. Mengenai isu kedua pula, Audit mendapati sejumlah 187,540 set dokumen perjanjian pembiayaan pendidikan atau 82 peratus daripada 227,595 set yang dipulangkan pelajar masih belum ditandatangani oleh pihak PTPTN dan saksinya. Ismail mengakui ia berlaku kerana sistem pengurusan dokumen yang sepatutnya digunakan tidak dapat disiapkan kerana masalah teknikal. "Bagaimanapun, masalah itu telah dapat diatasi dan mulai 27 September lalu satu pasukan khas telah diwujudkan. Sehingga hari ini, urusan tandatangan oleh kumpulan Pengurusan dan Profesional bagi 187,540 set dokumen itu telah disiapkan. "Kini usaha sedang dilakukan untuk membolehkan tandatangan saksi oleh kumpulan Sokongan 1 disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan," katanya. Sementara itu, mengenai kegagalan kutipan balik pinjaman, Ismail berkata, pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan oleh PTPTN bagi meningkatkan prestasi kutipan hutangnya. Katanya, sehingga 31 Ogos lalu, sejumlah RM1.959 bilion telah dikutip iaitu 48 peratus daripada jumlah yang sepatutnya sebanyak RM4 bilion. "Selain itu, PTPTN juga sedang mengadakan perbincangan dengan Lembaga Hasil Dalam Negara untuk membolehkan kewajipan potongan gaji melalui lembaga itu dilaksanakan," katanya.
Tuesday, October 26, 2010
PTPTN atasi lebih separuh masalah dibangkit Laporan Ketua Audit Negara
Tuesday, October 26, 2010
Media Kampus USM