Wednesday, October 27, 2010

Amaran banjir kilat minggu depan di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dan tebing sungai diminta mengambil langkah berjaga-jaga serta bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat pada Isnin dan Selasa depan.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Pulau Pinang berkata negeri itu dijangka menerima hujan lebat selama dua hari berturut-turut, iaitu pada 1 dan 2 November ini, dan keadaan hujan dijangka membawa kesan banjir kilat di kawasan rendah. "Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran di tahap kuning ekoran hujan lebat tanpa henti akan berlaku di beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perak Utara, Kedah dan Perlis selama dua hari, iaitu pada 1 dan 2 Nov ini ekoran perubahan monsun," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir, diminta memastikan kelancaran saliran air di longkang dan parit di tempat masing-masing.

"Orang ramai yang memerlukan bantuan untuk membersihkan longkang atau parit di kawasan perumahan, boleh menghubungi Bahagian Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Pulau Pinang menerusi talian 04-2637 637 atau Majlis Perbandaran Seberang Perai 04-5497 700", katanya. - BERNAMA


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More