PETALING JAYA 27 Okt. - Para pemimpin institusi pengajian tinggi (IPT) perlu sensitif dengan perubahan kehendak pasaran dalam usaha melahirkan graduan lebih berkualiti. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, atas dasar itu mereka perlu menjalin lebih banyak usahasama dengan pihak industri dan IPT di dalam serta luar negara agar IPT tempatan menjadi pilihan pelajar asing. Bagaimanapun tegasnya, pihak IPT juga tidak boleh mengenepikan nilai-nilai kebangsaan dalam mencapai kehendak dan taraf antarabangsa. "Kualiti dan nilai kemajuan negara amat bergantung kepada kekuatan dan kepimpinan yang dihasilkan oleh IPT. "Oleh yang demikian, para graduan perlu berkemampuan untuk bekerja dan mempunyai pengetahuan luas dan berkemahiran untuk menjadi usahawan dan pemimpin dalam industri," katanya. Beliau berkata demikian dalam syarahannya bertajuk 'Peranan Pendidikan Tinggi dalam Pembangunan Negara' sempena sambutan ulang tahun ke-60 Kolej Stamford di sini hari ini. Teks syarahannya dibacakan oleh Penasihat Khasnya, Prof. Dr. Zakaria Abas. Mohamed Khaled berkata, dalam memenuhi aspirasi itu, kementerian komited memacu transformasi demi mencapai matlamat pembangunan negara dan modal insan. Menurutnya, kementerian akan berperanan sebagai fasilitator dan rakan kongsi utama dalam menambah baik ekosistem IPT. Justeru, katanya, adalah menjadi harapan agar pemimpin IPT bersama memainkan peranan mereka secara efektif. Katanya, IPT juga perlu melakukan perubahan kepada kandungan kurikulum dan mod penyampaian mereka bagi melahirkan graduan yang boleh merangsang ekonomi negara selari dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang berpacukan inovasi. Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, IPT swasta tidak hanya menyediakan peluang pengajian malah kos yang lebih murah menjadi faktor utama Malaysia menjadi pilihan bangsa asing. Namun katanya, dalam memenuhi misi dan aspirasi negara, institusi swasta seharusnya mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan kepada penuntut tempatan tanpa meminggirkan kepentingan bahasa Inggeris. "Graduan kita seharusnya memahami kehendak global dan perlu menjadi proaktif, produktif serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.
Wednesday, October 27, 2010
IPT perlu sensitif kehendak pasaran - Khaled
Wednesday, October 27, 2010
Media Kampus USM