PULAU PINANG 20 Okt. – Tiga pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) mengharumkan nama negara apabila memenangi tiga pingat emas dalam Pameran British Invention Show di Alexandra Palace, London yang berlangsung pada 13 hingga 16 Oktober lalu.
Ketua rombongan USM ke London, Profesor Abdul Latiff Ahmad berkata, kemenangan itu cukup bermakna buat USM apabila ia turut diiringi dengan empat anugerah khas yang disediakan oleh pihak penganjur.
Katanya, anugerah khas berkenaan ialah Anugerah Khas Diamond; Anugerah Khas Emas Berganda; Anugerah Khas Inovasi Kerajaan Rusia dan Anugerah Khas Platinum.
‘‘Kejayaan ini jauh lebih besar daripada apa yang pernah kita memenangi pada penyertaan terdahulu. Kejayaan ini hasil pendedahan yang telah universiti berikan kepada para mahasiswa untuk menerokai peluang di pentas dunia dengan membawa mereka menyertai pameran dan pertandingan penyelidikan seumpama ini.
“Kita bukan sahaja melibatkan mereka dalam penyelidikan, tetapi juga membimbing dan mendidik mereka untuk berani bersaing dan menggunakan cara terbaik menghadapi pertandingan akademik dan penyelidikan di seluruh dunia kerana ia penting untuk melahirkan para penyelidik yang kreatif dan inovatif untuk negara,” kata Abdul Latiff di sini hari ini.
Sementara itu, pelajar yang memenangi pingat emas dan Anugerah Khas Diamond, Yohanes Saimi, 23, berkata kemenangan itu adalah hasil penyelidikan tentang penggunaan tayar terpakai untuk mengelakkan hakisan sungai dan bukit di luar dugaannya.
“Saya sangat bersyukur dan amat berbangga dengan pencapaian ini,” kata bekas pelajar Pengajian Kejuruteraan Awam USM ini.
Yohanes yang kini bekerja di tanah kelahirannya di Beaufort, Sabah merupakan anak kelapan dari sembilan adik beradik dan baru menamatkan pengajian di USM.
Sementara itu, anak seorang pesara tentera, Nor Fasihah Zaaba, 23, berkata, dia merasa amat berbangga apabila penyertaan kali pertamanya memenangi tiga pingat iaitu pingat emas, Anugerah Khas Emas Berganda dan Hadiah Khas Inovasi dari Rusia.
“Pengalaman mengambil bahagian dalam pameran ini amat besar maknanya kerana ini adalah pendedahan pertama saya di pentas dunia,” kata Nor Fasihah yang berasal dari Manjung Perak.
Dia melakukan penyelidikannya berkaitan dengan penggunaan kanji untuk menghasilkan plastik terurai.
Nor Fasihah kini sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan polimer di USM dengan hasrat untuk menjadi seorang pensyarah satu ketika nanti.
Bagi Muhammad Ghaddafy Affendy, 24 pula, kejayaan memperoleh pingat emas dan Anugerah Khas Platinum amat memeranjatkan kerana ia disertai ramai peserta dari seluruh dunia.
“Saya masih terkejut sehingga sekarang, namun, amat bersyukur kerana berjaya mengharumkan nama negara dan USM di kota London.
“Persaingan terlalu sengit kerana terdapat begitu banyak produk penyelidikan dari seluruh dunia,” katanya yang merupakan anak bongsu kepada seorang pengurus sumber manusia di Miri, Sarawak.
Dalam pameran itu, dia mempertaruhkan penyelidikannya mengenai bateri polimer zink untuk menyelesaikan masalah kebocoran dalam bateri biasa dengan menggunakan sagu.
SUMBER : Utusan Malaysia, 21 Oktober 2010