Tuesday, October 26, 2010

Defisit PTPTN dijangka RM45.89b

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dijangka mengalami defisit aliran tunai berjumlah RM45.89 bilion sehingga Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, keadaan itu berlaku kerana prestasi bayaran balik oleh para peminjam tidak memuaskan, selain kos pinjaman tinggi iaitu antara 3.6 hingga 5.3 peratus yang terpaksa ditanggung oleh PTPTN.

Jelas laporan itu, prestasi kutipan bayaran balik pinjam pada tahun lalu sekadar 47 peratus iaitu sama dengan pretasi kutipan pada tahun 2007 tetapi lebih rendah berbanding 2008 yang mencatat 48 peratus.

Lebih memburukkan keadaan, tambah laporan itu, 33 peratus peminjam PTPTN yang sepatutnya membayar balik pinjaman mulai tahun 2007 hingga 2009 pula mendapat kemudahan penangguhan bayaran balik.

"Defisit aliran tunai pinjaman pendidikan yang berterusan akan menyebabkan kedudukan kewangan PTPTN terjejas. Badan ini terpaksa bergantung kepada kerajaan bagi meneruskan operasi memberi pinjaman.

"PTPTN perlu meningkatkan prestasi kutipan sehingga 70 peratus pada tahun ini bagi memastikan dana pusingan pinjaman pendidikan dapat terus membiayai pinjaman pelajaran," jelas laporan tersebut.

Dalam pada itu, audit juga mendedahkan 82 peratus daripada 227,595 dokumen perjanjian antara peminjam dan PTPTN bagi tahun 2008 dan 2009 masih belum ditandatangani oleh badan tersebut.

Daripada jumlah tersebut, 124,070 dokumen perjanjian yang belum ditandatangani melibat tahun lalu manakala baki 63,470 dokumen perjanjian lagi adalah untuk tahun 2008.

Pada masa sama, pemeriksaan audit juga mendapati dokumen perjanjian yang belum ditandatangani itu tidak disimpan dengan teratur di Unit Perjanjian PTPTN sehingga boleh mendatangkan pelbagai risiko.

"Perjanjian yang tidak dimeterai itu menyebabkan PTPTN sukar mengambil tindakan penguatkuasaan bayaran balik terhadap peminjam yang ingkar.

"PTPTN perlu melengkapkan perjanjian pinjaman pelajar dengan menandatangani segera supaya tindakan perundangan dapat dikuatkuasakan," jelasnya.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More