Wednesday, October 27, 2010

Dana pendidikan tinggi untuk pelajar di Borneo

PELAJAR Orang Asli, etnik Bumiputera Sabah dan Sarawak bakal mendapat manfaat melalui peruntukan hampir RM1 bilion Projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) IV, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Pengerusi YPM, Datuk Dr Rosli Mat Hassan, berkata sejumlah RM996 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkenaan yang turut menjadikan sasaran melahirkan jurutera dan saintis dari kalangan pelajar Orang Asli dan etnik Bumiputera di kedua-dua negeri.

“YPM serius dalam usaha melahirkan jurutera dan saintis Bumiputera di kalangan Orang Asli. Menerusi pendekatan ini etnik terbabit berupaya menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi kelompok berkenaan pada masa depan.

“Projek DPPT IV yang bermula tahun depan meletakkan unjuran pengambilan kumpulan pertama seramai 160 pelajar tempatan serta masing-masing 80 pelajar Jepun dan Asean,” katanya ketika sesi pertemuan delegasi YPM dengan Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shahruddin Md Som, di sini, kelmarin.

Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Abdul Shariff Hamid; Ahli Lembaga YPM, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh dan Pengarah Projek DPPT, Mohamad Muda.

Rosli berkata, YPM berjaya mendapat sokongan berterusan Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi melaksanakan DPPT IV dan menerusi rundingan tidak rasmi dicapai, 59 peratus pembiayaan akan ditanggung JICA dan bakinya oleh YPM.

“Pelaksanaan DPPT IV turut menyaksikan beberapa usaha penambah baik termasuk pengisian silibus pengajian yang lebih signifikan selain penerokaan beberapa bidang pengkhususan baru seperti kejuruteraan kewangan, teknologi maklumat dan bioperubatan selain mekanikal dan elektronik.

“Selain itu, kita berusaha mengimbangi kemasukan ke universiti kebangsaan dan swasta bagi mengurangkan yuran pengajian,” katanya.

Ketika ini, DPPT III dilaksanakan dengan kerjasama dua universiti kebangsaan dan 12 universiti swasta di Jepun,” katanya.

Projek DPPT bermula pada 1993 dan kini sudah masuk fasa keempat membabitkan pelajar melanjutkan pengajian di Jepun bagi ijazah pertama dan lanjutan.

Sementara itu, Shahruddin berkata, kerjasama yang terjalin sejak sekian lama banyak menyumbang kepada pembangunan negara khususnya aspek pemindahan teknologi dari Jepun ke Malaysia.

Katanya, Jepun dikenali sebagai sebuah negara maju yang memiliki pelbagai kepakaran dan pelaksanaan program DPPT menjadi saluran terbaik memindahkan teknologi tinggi negara Matahari Terbit, khususnya dalam bidang kejuruteraan di Malaysia.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More