PUTRAJAYA: Universiti awam digalak agar menubuhkan parlimen pelajar sebagaimana yang telah dirintis oleh Universiti Sains Malaysia (USM). Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya sebahagian besar IPTA berjaya membentuk parlimen pelajar mereka sendiri, pihak kementerian tidak teragak-agak untuk memberi kebenaran agar satu platform yang sama dibentuk di peringkat kebangsaan suatu masa nanti. Katanya, USM telah membuka jalan dengan memperkenalkan projek rintis parlimen pelajar dan universiti-universiti awam yang lain juga digalakkan supaya mengikuti jejak langkah yang sama. Beliau menjelaskan, sebuah parlimen pelajar di peringkat kebangsaan mungkin boleh dipertimbangkan jika 75% daripada IPTA telah membentuk parlimen pelajar di peringkat universiti masing-masing. "Kita sedar keperihatinan pelajar ke atas pembangunan negara kini semakin tinggi dan kita sememangnya mahu menggalakkan semangat ini. Dan ini boleh dilakukan menerusi parlimen pelajar di peringkat kebangsaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baru kementerian berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Isnin. Bagaimanapun katanya, pelajar universiti mestilah membuktikan bahawa mereka mampu berhujah berasaskan fakta dan bukannya emosi. Buat masa ini, hanya USM – yang juga merupakan universiti Apex - adalah satu-satunya universiti awam di negara ini yang memperkenalkan parlimen pelajar. Sementara itu, dalam ucapan amanatnya, Mohamed Khaled berkata, pihak kementerian akan memberi lebih banyak kuasa autonomi kepada universiti awam yang benar-benar bersedia untuk beroperasi secara autonomi. Katanya, setiap universiti akan dnilai keupayaan untuk beroperasi secara autonomi berasaskan empat perkara: (i) Urus tadbir; (ii)Pencapaian akademik & kemasukan pelajar; (iii) Kewangan & penjanaan pendapatan dan; (iv) Sumber manusia. Menurut Khaled, adalah disasarkan, menjelang tahun 2015, semua universiti penyelidikan (UP) akan mendapat autonomi penuh daripada kementerian. Selain itu, kementerian juga sedang menimbang untuk menaiktaraf dan memberikan autonomi tertentu kepada empat (4) buah kampus cawangan UiTM. "Saya juga berharap beberapa pusat tanggungjawab (PTJ) seperti pusat-pusat perubatan universiti atau institusi–institusi penyelidikan penting di universiti dalam kumpulan HiCOE dapat diberikan autonomi oleh universiti berkaitan. "Ini akan mengupayakan institusi ini bersaing di peringkat antarabangsa dan memberi ruang dan nafas baru kepada mereka untuk lebih memacu ke hadapan dan progresif, "ujarnya. Namun kata Khaled, perlu diingat bahawa autonomi bukanlah bermakna mendapat kuasa mutlak tanpa kebertanggungjawaban. "Jika kita menghayati peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebenarnya, ia secara nyata dan jelas menyebut bahawa kuasa utama dalam pentadbiran universiti adalah terletak pada Lembaga Pengarah, Senat, Fakulti dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan. "Peruntukan ini dengan jelas menyatakan bahawa segala tanggungjawab dalam membuat keputusan hendaklah secara bersama dan kolektif. Ini kerana sifat universiti itu sendiri yang harus didasari oleh apa yang saya sebut dalam amanat tahun baharu 2010 tahun lalu iaitu collegiality atau semangat bermuafakat. "Dan saya percaya, muafakat akan mengukuhkan solidariti dalam universiti dan memberikan kewibawaan kepada setiap keputusan mereka. Saya percaya usaha memberi universiti autonomi hanya akan berjaya jika budaya collegiality ini menjadi teras utama dalam setiap keputusan universiti," jelas beliau lagi.
Monday, January 24, 2011
Kuasa Autonomi & Parlimen Pelajar Untuk IPTA
Monday, January 24, 2011
Media Kampus USM