Sunday, January 16, 2011

Sesi Kemasukan Baru IPTA Ditetapkan 2 - 7 Sept

GEORGE TOWN: Pendaftaran pelajar bagi sesi akademik 2011 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diadakan antara 2 dan 7 September ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor IPTA Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat antara naib-naib canselor IPTA semalam.

"Pihak IPTA diberi kebebasan untuk membuat pendaftaran pelajar baru antara 2 September hingga 7 September ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Perutusan Tahunan Naib Canselor USM di sini, hari ini.

Beliau berkata untuk permulaan, perubahan itu pastinya akan menimbulkan sedikit kesukaran kepada pihak universiti.

"Dalam semua perubahan mesti ada kesusahan. Sesi kali ini sahaja akan sukar sedikit. Tahun depan akan lebih mudah selepas sistem baru itu diselaraskan," katanya.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penyelarasan kalendar akademik IPTA negara akan dilakukan secara berperingkat bermula sesi akademik 2011/2012 dan dijangka beralih sepenuhnya pada sesi akademik 2013/2014.

Penyelarasan itu akan menyaksikan tarikh pendaftaran pelajar baru dianjakkan dua minggu ke hadapan pada setiap sesi akademik yang akhirnya akan bermula pada September berbanding Jun sebelum ini.

Mohamed Khaled berkata, antara rasional anjakan kalendar akademik ini adalah bagi memenuhi konsep perkongsian ilmu dengan masyarakat antarabangsa.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More