Saturday, October 30, 2010

8 Pelajar USM Terlibat Kemalangan

Minden - Media Kampus baru saja menerima berita mengenai insiden kemalangan jalan raya yang membabitkan sekurang-kurangnya lapan orang penuntut dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pihak kami menunggu berita lanjut dan akan melaporkannya seberapa segera.


Friday, October 29, 2010

Mahasiswa Dipelawa Sertai Lawatan Sambil Belajar Ke Amerika Syarikat

Kuala Lumpur, 29 Oktober (Bernama) - Kedutaan Amerika Syarikat di sini dan Biro Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan Jabatan Negara Amerika Syarikat mempelawa permohonan daripada mahasiwa tempatan untuk menyertai program lawatan sambil belajar ke negara itu selama empat minggu.

Program lawatan itu diadakan bagi mengkaji isu alam sekitar global yang dianjurkan oleh Pusat Timur-Barat di Honolulu, Hawaii, menurut kenyataan kedutaan di sini.

"Sepanjang tempoh empat itu peserta akan mengikuti program pengajian seimbang terdiri daripada seminar, perbincangan, bacaan, persembahan berkumpulan dan kuliah," katanya.

Program itu turut melibatkan lawatan sambil belajar selama empat hari ke San Francisco, California, di mana peserta akan dibawa bertemu dengan penduduk tempatan, kerajaan negeri, swasta dan badan bukan kerajaan yang terbabit dalam bidang itu.

Penutup program itu, peserta akan dibawa ke Washington selama tiga hari.

Kedutaan berkata pemohon mestilah seorang yang bermotivasi tinggi dan merupakan pelajar contoh berusia antara 18 hingga 25 tahun dari kolej, universiti dan institusi pendidikan tinggi yang lain.

"Manakala semua calon mesti mempunyai minat yang mendalam dalam bidang alam sekitar, pengajian mereka boleh terdiri daripada pelbagai bidang seperti Pertanian, Bilogi, Ekopelancongan, Kejuruteraan, Undang-undang Alam Sekitar, Sains Alam Sekitar, Perhubungan Antarabangsa, Polisi Awam, Pembangunan Mampan dan lain-lain," katanya.

Tarikh tutup permohonan pada 15 Disember depan dan butiran lanjut program boleh diperolehi dengan melayari http://malaysia.usembassy.gov.

Maklumat juga boleh diperolehi dari Helena Bridget, Penolong Hal Ehwal Kebudayaan, Kedutaan Amerika Syarikat di talian 03-21685106, fax : 03-21685158 atau e-mel kepada Public AffairsKL@state.gov. -Bernama.


Thursday, October 28, 2010

Tengku Abdullah Saran Mahasiswa Suburkan Semangat Sukarela

KUANTAN: Golongan mahasiswa disaran menyuburkan semangat kesukarelawan sebagai satu pengupayaan kekentalan diri, kelasakan minda dan ketahanan peribadi sebagai benteng yang memagari kelangsungan agama, nusa dan bangsa.

Saranan itu diutarakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang turut bertitah bahawa semangat kesukarelawan adalah satu agenda yangperlu dijurai mahasiswa dan pihak universiti, kerana di situlah aplikasi ilmupengetahuan serta sentuhan kemanusiaan bergabung.

Baginda bertitah kajian yang dilakukan pusat kaunseling Universiti Maryland, Amerika Syarikat pada 1992, menunjukkan jumlah mahasiswa yang berminat melakukanaktiviti kesukarelawan semakin merosot.

Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu juga bertitah, pelbagai alasan telah diberikan oleh mahasiswa yang kurang melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawan iaitu tidak ada masa dan sibuk dengan pelajaran.

"Kini setelah 18 tahun kajian tersebut dijalankan, kita harus menyoal adakah situasinya terus merosot, atau menunjukkan kemajuan.

"Pada hemat saya, rendahnya minat, kurangnya kesedaran untuk menyertai aktiviti kesularelawan di kalangan mahasiswa, perlu ditekuni penyelesaiannya dengan bijaksana," titahnya pada majlis Konvokesyen Kelima UMP, Sabtu.

Tengku Abdullah bertitah situasi itu telah menimbulkan persepsi negatif bahawa mahasiswa hanya suka melakukan perkara remeh serta aktiviti mudah tanpa mencabar ketahanan dan kelasakan diri, dan sekiranya situasi tersebut berterusan, ia akan menjejas daya saing mereka di alam pekerjaan.

Justeru, baginda berharap pihak pengurusan universiti mampu menjadikan kesukarelawan sebagai agenda utama yang perlu diperkasa bagi membangunkan potensi dan bakat mahasiswa.

"Agenda kesukarelawan yang direncana dengan cekap, mampu memupuk nilai-nilai murni yang membentuk personaliti unggul seperti kepimpinan, keprihatinan, kasih sayang, tawadduk dan kesederhanaan," titahnya.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Naib Canselor UMP Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Pada majlis itu, seramai 1,030 pelajar menerima ijazah dan diploma daripada Tengku Abdullah.

Baginda turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi) kepada Adnan bagi mengiktiraf usaha beliau meletakkan Pahang sebagai sebuah negeri yang maju dan makmur. - BERNAMA


Wednesday, October 27, 2010

IPT perlu sensitif kehendak pasaran - Khaled

PETALING JAYA 27 Okt. - Para pemimpin institusi pengajian tinggi (IPT) perlu sensitif dengan perubahan kehendak pasaran dalam usaha melahirkan graduan lebih berkualiti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, atas dasar itu mereka perlu menjalin lebih banyak usahasama dengan pihak industri dan IPT di dalam serta luar negara agar IPT tempatan menjadi pilihan pelajar asing.

Bagaimanapun tegasnya, pihak IPT juga tidak boleh mengenepikan nilai-nilai kebangsaan dalam mencapai kehendak dan taraf antarabangsa.

"Kualiti dan nilai kemajuan negara amat bergantung kepada kekuatan dan kepimpinan yang dihasilkan oleh IPT.

"Oleh yang demikian, para graduan perlu berkemampuan untuk bekerja dan mempunyai pengetahuan luas dan berkemahiran untuk menjadi usahawan dan pemimpin dalam industri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam syarahannya bertajuk 'Peranan Pendidikan Tinggi dalam Pembangunan Negara' sempena sambutan ulang tahun ke-60 Kolej Stamford di sini hari ini.

Teks syarahannya dibacakan oleh Penasihat Khasnya, Prof. Dr. Zakaria Abas.

Mohamed Khaled berkata, dalam memenuhi aspirasi itu, kementerian komited memacu transformasi demi mencapai matlamat pembangunan negara dan modal insan.

Menurutnya, kementerian akan berperanan sebagai fasilitator dan rakan kongsi utama dalam menambah baik ekosistem IPT.

Justeru, katanya, adalah menjadi harapan agar pemimpin IPT bersama memainkan peranan mereka secara efektif.

Katanya, IPT juga perlu melakukan perubahan kepada kandungan kurikulum dan mod penyampaian mereka bagi melahirkan graduan yang boleh merangsang ekonomi negara selari dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang berpacukan inovasi.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, IPT swasta tidak hanya menyediakan peluang pengajian malah kos yang lebih murah menjadi faktor utama Malaysia menjadi pilihan bangsa asing.

Namun katanya, dalam memenuhi misi dan aspirasi negara, institusi swasta seharusnya mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan kepada penuntut tempatan tanpa meminggirkan kepentingan bahasa Inggeris.

"Graduan kita seharusnya memahami kehendak global dan perlu menjadi proaktif, produktif serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.


Dana pendidikan tinggi untuk pelajar di Borneo

PELAJAR Orang Asli, etnik Bumiputera Sabah dan Sarawak bakal mendapat manfaat melalui peruntukan hampir RM1 bilion Projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) IV, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Pengerusi YPM, Datuk Dr Rosli Mat Hassan, berkata sejumlah RM996 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkenaan yang turut menjadikan sasaran melahirkan jurutera dan saintis dari kalangan pelajar Orang Asli dan etnik Bumiputera di kedua-dua negeri.

“YPM serius dalam usaha melahirkan jurutera dan saintis Bumiputera di kalangan Orang Asli. Menerusi pendekatan ini etnik terbabit berupaya menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi kelompok berkenaan pada masa depan.

“Projek DPPT IV yang bermula tahun depan meletakkan unjuran pengambilan kumpulan pertama seramai 160 pelajar tempatan serta masing-masing 80 pelajar Jepun dan Asean,” katanya ketika sesi pertemuan delegasi YPM dengan Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shahruddin Md Som, di sini, kelmarin.

Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Abdul Shariff Hamid; Ahli Lembaga YPM, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh dan Pengarah Projek DPPT, Mohamad Muda.

Rosli berkata, YPM berjaya mendapat sokongan berterusan Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi melaksanakan DPPT IV dan menerusi rundingan tidak rasmi dicapai, 59 peratus pembiayaan akan ditanggung JICA dan bakinya oleh YPM.

“Pelaksanaan DPPT IV turut menyaksikan beberapa usaha penambah baik termasuk pengisian silibus pengajian yang lebih signifikan selain penerokaan beberapa bidang pengkhususan baru seperti kejuruteraan kewangan, teknologi maklumat dan bioperubatan selain mekanikal dan elektronik.

“Selain itu, kita berusaha mengimbangi kemasukan ke universiti kebangsaan dan swasta bagi mengurangkan yuran pengajian,” katanya.

Ketika ini, DPPT III dilaksanakan dengan kerjasama dua universiti kebangsaan dan 12 universiti swasta di Jepun,” katanya.

Projek DPPT bermula pada 1993 dan kini sudah masuk fasa keempat membabitkan pelajar melanjutkan pengajian di Jepun bagi ijazah pertama dan lanjutan.

Sementara itu, Shahruddin berkata, kerjasama yang terjalin sejak sekian lama banyak menyumbang kepada pembangunan negara khususnya aspek pemindahan teknologi dari Jepun ke Malaysia.

Katanya, Jepun dikenali sebagai sebuah negara maju yang memiliki pelbagai kepakaran dan pelaksanaan program DPPT menjadi saluran terbaik memindahkan teknologi tinggi negara Matahari Terbit, khususnya dalam bidang kejuruteraan di Malaysia.


PTPTN boleh guna dokumen perjanjian

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelaskan pemberian wang pinjaman pendahuluan (WPP) yang diagihkan kepada pelajar menggunakan dokumen perjanjian boleh digunakan bagi tujuan perundangan untuk menuntut bayaran balik pinjaman.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata dokumen berkenaan mengandungi semua syarat termasuk membayar balik WPP sebelum pelajar boleh menunaikan pinjaman itu di CIMB Bank.

“Pemberian WPP bertujuan membantu pelajar keluarga miskin atau pendapatan kurang RM3,000 sebulan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ia diberi berasaskan data permohonan kemasukan ke IPTA yang diperoleh daripada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) bagi kemasukan Julai dan Disember setiap tahun.

“Walaupun pemberian WPP tidak menggunakan perjanjian, pelajar disyaratkan menandatangani surat setuju terima ketika menunaikan waran WPP,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang mendedahkan pinjaman berjumlah RM4.9 juta diluluskan PTPTN tanpa permohonan pelajar. Selain isu WPP, Audit mendapati 187,540 set dokumen perjanjian PTPTN 2008 dan 2009 belum diproses atau ditandatangani pegawai perbadanan itu.

Ismail berkata, selaras cadangan Audit, PTPTN akan berbincang dengan IPTA untuk memasukkan kenyataan pelajar mahu memohon WPP ketika mengisi borang permohonan ke universiti.

Berhubung kelewatan memproses dokumen perjanjian PTPTN, beliau berkata, ia tidak dapat diproses berikutan sistem pengurusan dokumen mengalami masalah teknikal.

Katanya, menerusi penubuhan pasukan khas pada 27 September lalu, urusan tandatangan kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk dokumen perjanjian itu dapat disiapkan.

“Usaha sedang dilakukan untuk membolehkan tandatangan saksi kumpulan Sokongan 1 disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan dari sekarang. Apabila urusan tandatangan selesai, satu salinan dokumen perjanjian akan dihantar kepada pelajar untuk simpanan,” katanya.

Beliau juga berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan prestasi kutipan balik pinjaman PTPTN dan sehingga 31 Ogos lalu, sejumlah RM1.9 bilion atau 48 peratus daripada RM4 bilion berjaya dikutip.


RM1 juta terbit akhbar 5 IPTA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi akan memperuntukkan RM1 juta kepada lima universiti awam yang menjayakan projek 'Journalism On Campus' bersama Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan tambahan berjumlah RM130 juta diluluskan kementerian bagi menjayakan program meningkatkan kemahiran insaniah graduan.

Katanya, tahun ini Universiti Teknologi Mara (UiTM) selaku universiti awam pertama mengikuti projek berkenaan diberi peruntukan RM100,000 untuk menjayakannya.

“Tahun depan, kementerian akan menyalur peruntukan sebanyak RM200,000 kepada setiap universiti awam yang mengikuti program ini, tetapi terhad kepada lima universiti yang menawarkan program kewartawanan atau komunikasi,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas melancarkan projek ‘Journalism On Campus’ di Balai Berita di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa dan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan, Kumpulan New Straits Times Sdn Bhd (NST), Datuk Syed Nazri Syed Harun dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, Profesor Dr Azni Zain Ahmed.

Seramai 57 pelajar UiTM daripada pelbagai jurusan dan fakulti mengikuti program itu sejak Jun lalu bagi mendedahkan mereka pengalaman mencari dan menulis berita, mengambil gambar, membuat reka letak akhbar serta mencari iklan sambil diberi nasihat bimbingan mentor NSTP.

Menerusi program itu, pelajar terbabit dapat menimba pengetahuan dan pengalaman mengenai cara menerbitkan akhbar dikenali Varsity Voice untuk lapan keluaran dalam tempoh dua semester, mencetak 25,000 naskhah setiap keluaran serta mengedarkannya di 16 kampus cawangan UiTM.

Khaled berkata, kementerian mengalu-alukan pihak industri terbabit dalam program meningkatkan kemahiran insaniah supaya dapat menepis tanggapan kononnya universiti awam gagal melahirkan graduan yang diperlukan di pasaran pekerjaan atau industri.


Amaran banjir kilat minggu depan di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dan tebing sungai diminta mengambil langkah berjaga-jaga serta bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat pada Isnin dan Selasa depan.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Pulau Pinang berkata negeri itu dijangka menerima hujan lebat selama dua hari berturut-turut, iaitu pada 1 dan 2 November ini, dan keadaan hujan dijangka membawa kesan banjir kilat di kawasan rendah. "Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran di tahap kuning ekoran hujan lebat tanpa henti akan berlaku di beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perak Utara, Kedah dan Perlis selama dua hari, iaitu pada 1 dan 2 Nov ini ekoran perubahan monsun," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir, diminta memastikan kelancaran saliran air di longkang dan parit di tempat masing-masing.

"Orang ramai yang memerlukan bantuan untuk membersihkan longkang atau parit di kawasan perumahan, boleh menghubungi Bahagian Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Pulau Pinang menerusi talian 04-2637 637 atau Majlis Perbandaran Seberang Perai 04-5497 700", katanya. - BERNAMA


Tuesday, October 26, 2010

PTPTN atasi lebih separuh masalah dibangkit Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menjelaskan bahawa segala isu kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 mengenai perbadanan itu, lebih separuh telah diselesaikan dan bakinya akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Tiga isu yang dibangkitkan dalam laporan itu ialah berkenaan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP), dokumen perjanjian belum ditandatangani pegawai PTPTN dan jumlah kutipan bayaran balik RM1.51 bilion iaitu hanya 47 peratus daripada jumlah sepatutnya.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said dalam kenyataannya hari ini menjelaskan bahawa walaupun WPP tidak menggunakan perjanjian tetapi pelajar yang ditawar pendahuluan itu disyaratkan menandatangani surat setuju terima semasa menunaikan waran berkenaan.

Katanya, dokumen tersebut boleh digunakan oleh pihaknya bagi tindakan perundangan kerana semua syaratnya dinyatakan secara jelas.

"Bagi pelajar yang memohon dan diluluskan pembiayaan pendidikan PTPTN, potongan untuk bayaran balik WPP akan dibuat mulai semester kedua.

"Selaras dengan cadangan Audit, PTPTN akan mengadakan perbincangan dengan pihak IPTA memasukkan kenyataan bahawa pelajar juga ingin memohon kemudahan WPP semasa mengisi permohonan ke IPTA," katanya.

Menurut Laporan Audit, didapati 3,793 daripada 3,852 penerima WPP berjumlah RM4.9 juta masih tidak dapat dikutip balik. Semakan selanjutnya mendapati tiada perjanjian ditandatangani dengan pelajar bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan kutipan balik WPP dibuat.

Mengenai isu kedua pula, Audit mendapati sejumlah 187,540 set dokumen perjanjian pembiayaan pendidikan atau 82 peratus daripada 227,595 set yang dipulangkan pelajar masih belum ditandatangani oleh pihak PTPTN dan saksinya.

Ismail mengakui ia berlaku kerana sistem pengurusan dokumen yang sepatutnya digunakan tidak dapat disiapkan kerana masalah teknikal.

"Bagaimanapun, masalah itu telah dapat diatasi dan mulai 27 September lalu satu pasukan khas telah diwujudkan. Sehingga hari ini, urusan tandatangan oleh kumpulan Pengurusan dan Profesional bagi 187,540 set dokumen itu telah disiapkan.

"Kini usaha sedang dilakukan untuk membolehkan tandatangan saksi oleh kumpulan Sokongan 1 disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan," katanya.

Sementara itu, mengenai kegagalan kutipan balik pinjaman, Ismail berkata, pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan oleh PTPTN bagi meningkatkan prestasi kutipan hutangnya.

Katanya, sehingga 31 Ogos lalu, sejumlah RM1.959 bilion telah dikutip iaitu 48 peratus daripada jumlah yang sepatutnya sebanyak RM4 bilion.

"Selain itu, PTPTN juga sedang mengadakan perbincangan dengan Lembaga Hasil Dalam Negara untuk membolehkan kewajipan potongan gaji melalui lembaga itu dilaksanakan," katanya.


Defisit PTPTN dijangka RM45.89b

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dijangka mengalami defisit aliran tunai berjumlah RM45.89 bilion sehingga Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, keadaan itu berlaku kerana prestasi bayaran balik oleh para peminjam tidak memuaskan, selain kos pinjaman tinggi iaitu antara 3.6 hingga 5.3 peratus yang terpaksa ditanggung oleh PTPTN.

Jelas laporan itu, prestasi kutipan bayaran balik pinjam pada tahun lalu sekadar 47 peratus iaitu sama dengan pretasi kutipan pada tahun 2007 tetapi lebih rendah berbanding 2008 yang mencatat 48 peratus.

Lebih memburukkan keadaan, tambah laporan itu, 33 peratus peminjam PTPTN yang sepatutnya membayar balik pinjaman mulai tahun 2007 hingga 2009 pula mendapat kemudahan penangguhan bayaran balik.

"Defisit aliran tunai pinjaman pendidikan yang berterusan akan menyebabkan kedudukan kewangan PTPTN terjejas. Badan ini terpaksa bergantung kepada kerajaan bagi meneruskan operasi memberi pinjaman.

"PTPTN perlu meningkatkan prestasi kutipan sehingga 70 peratus pada tahun ini bagi memastikan dana pusingan pinjaman pendidikan dapat terus membiayai pinjaman pelajaran," jelas laporan tersebut.

Dalam pada itu, audit juga mendedahkan 82 peratus daripada 227,595 dokumen perjanjian antara peminjam dan PTPTN bagi tahun 2008 dan 2009 masih belum ditandatangani oleh badan tersebut.

Daripada jumlah tersebut, 124,070 dokumen perjanjian yang belum ditandatangani melibat tahun lalu manakala baki 63,470 dokumen perjanjian lagi adalah untuk tahun 2008.

Pada masa sama, pemeriksaan audit juga mendapati dokumen perjanjian yang belum ditandatangani itu tidak disimpan dengan teratur di Unit Perjanjian PTPTN sehingga boleh mendatangkan pelbagai risiko.

"Perjanjian yang tidak dimeterai itu menyebabkan PTPTN sukar mengambil tindakan penguatkuasaan bayaran balik terhadap peminjam yang ingkar.

"PTPTN perlu melengkapkan perjanjian pinjaman pelajar dengan menandatangani segera supaya tindakan perundangan dapat dikuatkuasakan," jelasnya.


Peningkatan kos hidup tidak dapat dielak

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Rakyat perlu sedar bahawa peningkatan kos hidup tidak dapat dielakkan apabila Malaysia mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada masa depan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu akan berlaku kerana kerajaan tidak dapat berterusan memberi subsidi bagi membolehkan harga barangan dan perkhidmatan terus rendah.

"Saya menyokong dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Cuma saya bimbang rakyat mungkin menjangkakan peningkatan pendapatan ini akan dicapai tanpa disertai kos hidup lebih tinggi.

"Oleh itu adalah lebih baik rakyat diberi amaran awal- awal lagi tentang hakikat ini," katanya dalam entri terbaru bertajuk Ekonomi Berpendapatan Tinggi dalam blog http://chedet.co.cc di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat juga harus mengubah persepsi yang menyangka peningkatan pendapatan akan menyebabkan mereka dapat membeli barangan dan perkhidmatan dalam jumlah lebih banyak.

"Amerika Syarikat (AS) misalnya sekarang ini mempunyai pendapatan per kapita lima kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia tetapi ini bukan bermakna rakyatnya mempunyai kuasa beli lima kali ganda lebih besar daripada kita.

"Dalam kes tertentu, kuasa beli mereka sebenarnya adalah sama dengan rakyat Malaysia. Misalnya, berdasarkan Indeks Hamburger McDonald baru-baru ini, nilai seringgit adalah sama dengan satu dolar AS dalam membeli produk berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak tidak harus mengharapkan kerajaan memberi subsidi dengan menggunakan wang hasil minyak bagi mengurangkan kos hidup.

"Keuntungan daripada penjualan minyak yang dicari gali dalam negara adalah tidak mencukupi kerana kita hanya menjual satu perempat daripada yang dikeluarkan dan selebihnya digunakan sendiri," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir yakin kesan buruk daripada peningkatan kos hidup boleh dikurangkan jika kerajaan dapat memastikan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan adalah lebih rendah berbanding peningkatan pendapatan.

Sementara itu, beliau berkata, peningkatan pendapatan memang memberikan kesan positif dalam meningkatkan kuasa beli rakyat untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang diimport atau ketika berbelanja di luar negara.


Wednesday, October 20, 2010

3 Pelajar USM Harumkan Nama Negara di London

Ghaddafy (kiri), Nor Fasihah dan Yohanes bersama trofi masing-masing selepas mengharumkan nama USM dan negara dalam Pameran British Invention Show di London baru-baru ini.

PULAU PINANG 20 Okt. – Tiga pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) mengharumkan nama negara apabila memenangi tiga pingat emas dalam Pameran British Invention Show di Alexandra Palace, London yang berlangsung pada 13 hingga 16 Oktober lalu.

Ketua rombongan USM ke London, Profesor Abdul Latiff Ahmad berkata, kemenangan itu cukup bermakna buat USM apabila ia turut diiringi dengan empat anugerah khas yang disediakan oleh pihak penganjur.

Katanya, anugerah khas berkenaan ialah Anugerah Khas Diamond; Anugerah Khas Emas Berganda; Anugerah Khas Inovasi Kerajaan Rusia dan Anugerah Khas Platinum.

‘‘Kejayaan ini jauh lebih besar daripada apa yang pernah kita memenangi pada penyertaan terdahulu. Kejayaan ini hasil pendedahan yang telah universiti berikan kepada para mahasiswa untuk menerokai peluang di pentas dunia dengan membawa mereka menyertai pameran dan pertandingan penyelidikan seumpama ini.

“Kita bukan sahaja melibatkan mereka dalam penyelidikan, tetapi juga membimbing dan mendidik mereka untuk berani bersaing dan menggunakan cara terbaik menghadapi pertandingan akademik dan penyelidikan di seluruh dunia kerana ia penting untuk melahirkan para penyelidik yang kreatif dan inovatif untuk negara,” kata Abdul Latiff di sini hari ini.

Sementara itu, pelajar yang memenangi pingat emas dan Anugerah Khas Diamond, Yohanes Saimi, 23, berkata kemenangan itu adalah hasil penyelidikan tentang penggunaan tayar terpakai untuk mengelakkan hakisan sungai dan bukit di luar dugaannya.

“Saya sangat bersyukur dan amat berbangga dengan pencapaian ini,” kata bekas pelajar Pengajian Kejuruteraan Awam USM ini.

Yohanes yang kini bekerja di tanah kelahirannya di Beaufort, Sabah merupakan anak kelapan dari sembilan adik beradik dan baru menamatkan pengajian di USM.

Sementara itu, anak seorang pesara tentera, Nor Fasihah Zaaba, 23, berkata, dia merasa amat berbangga apabila penyertaan kali pertamanya memenangi tiga pingat iaitu pingat emas, Anugerah Khas Emas Berganda dan Hadiah Khas Inovasi dari Rusia.

“Pengalaman mengambil bahagian dalam pameran ini amat besar maknanya kerana ini adalah pendedahan pertama saya di pentas dunia,” kata Nor Fasihah yang berasal dari Manjung Perak.

Dia melakukan penyelidikannya berkaitan dengan penggunaan kanji untuk menghasilkan plastik terurai.

Nor Fasihah kini sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan polimer di USM dengan hasrat untuk menjadi seorang pensyarah satu ketika nanti.

Bagi Muhammad Ghaddafy Affendy, 24 pula, kejayaan memperoleh pingat emas dan Anugerah Khas Platinum amat memeranjatkan kerana ia disertai ramai peserta dari seluruh dunia.

“Saya masih terkejut sehingga sekarang, namun, amat bersyukur kerana berjaya mengharumkan nama negara dan USM di kota London.

“Persaingan terlalu sengit kerana terdapat begitu banyak produk penyelidikan dari seluruh dunia,” katanya yang merupakan anak bongsu kepada seorang pengurus sumber manusia di Miri, Sarawak.

Dalam pameran itu, dia mempertaruhkan penyelidikannya mengenai bateri polimer zink untuk menyelesaikan masalah kebocoran dalam bateri biasa dengan menggunakan sagu.

SUMBER : Utusan Malaysia, 21 Oktober 2010


Monday, October 18, 2010

Karnival Kampus 2010 USMKK



KUBANG KERIAN 14 Okt. - Karnival Kampus 2010 telah berlangsung di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian selama tiga hari berturut-turut bermula hari Khamis sehingga Sabtu yang lepas. Karnival tersebut merupakan sebuah projek anjuran Majlis Perwakilan Pelajar USMKK dan telah melibatkan hampir keseluruhan warga kampus dan juga terbuka untuk masyarakat luar. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah, telah dijemput untuk merasmikan Majlis Perasmian Karnival Kampus 2010 yang berlansung pada jam 2.00 hingga 5.00 petang di perkarangan Dewan Utama USMKK diiringi konvoi perarakan basikal dan beca.

Pada sebelah malamnya, Dato’ Saifuddin telah menjadi panel bagi forum bicara siswa yang bertajuk, ‘Rejuvenasi Mahasiswa : Bermulanya Nafas Baru Mahasiswa Berasaskan Transformasi’ bersama dua orang ahli panel yang lain iaitu, Saudara Mohammad Shafiq bin Abdul Aziz, pembawa idea penubuhan Parlimen Mahasiswa dan Saudari Siti Aminah Alawiyah Md Mukhtar, Setiausaha 2 Majlis Perwakilan Pelajar USMKK. Antara persoalan yang telah dikupas oleh Saudara Mohammad Shafiq adalah ‘Perbandingan Mahasiswa Dahulu dan Kini pada Kacamata Hari Ini’ dan Saudari Siti Aminah Alawiyah pula mengenai ‘Mahasiswa Hari Ini yang Lesu, Tidak Bermaya, dan Perlu Diketuk Baru Bergerak’.

Karnival yang sebelum ini dikenali sebagai Ekspo Kampus telah diberi nafas baru dengan tambahan satu lagi komponen iaitu Usahawan Lestari bersama tiga lagi komponen lain yang masih kekal seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu Hari Terbuka Desa, Pameran Kesihatan/Healthex dan Kuiz Sains Kesihatan. Komponen Usahawan Lestari itu merupakan salah satu usaha untuk membawa kepada penghayatan yang lebih menyeluruh mengenai konsep kelestarian oleh seluruh warga Kampus Kesihatan serta masyarakat setempat. Antara sub komponen yang diletakkan dibawah komponen ini adalah Pasar Pelajar, Flora dan Fauna, Pameran Buku serta Pameran ICT.

Sambutan yang menggalakkan telah diterima daripada masyarakat setempat yang turut hadir samada menjadi penggerai, terlibat dengan pameran mahupun sebagai pengunjung. Justeru, diharapkan karnival pada tahun akan datang dapat menerapkan lebih banyak nilai-nilai kelestarian selaras dengan aspirasi Universiti Sains Malaysia supaya nilai-nilai ini bukan sahaja dapat diamalkan oleh warga kampus, tetapi juga dapat diterapkan dengan lebih meluas kepada masyarakat.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More