Monday, November 1, 2010

Tindakan Siswa Di Galas Selepas Teliti Laporan Polis

Kuala Lumpur, 1 Nov (Bernama) – Kementerian Pengajian Tinggi akan hanya memutuskan bentuk tindakan terhadap empat penuntut institusi pengajian tinggi, yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas selepas menerima laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Kelantan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) bagaimanapun berkata jika peristiwa sedemikian berlaku, lazimnya kementerian akan dimaklumkan dan kemudian menyerahkan kepada pihak universiti untuk menjalankan siasatan.

“Dalam hal ini, polis sudah pun melakukan siasatan. Oleh itu, kita akan melihat apakah tindakan yang boleh dilakukan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada hari Isnin.

Semalam, empat mahasiswa iaitu Ahmad Syukri Che Ab. Razab, Mohd Rijaludeen Mohd Anwar, Mohd Yusof Hadhari dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli ditahan polis pada kira-kira 1.30 petang ketika menyebarkan risalah menyeru penduduk tempatan menggunakan hak demokrasi mereka untuk mengundi.

Mereka kemudiannya dibawa ke IPD Gua Musang untuk disoal siasat sebelum dibebaskan pada 9.15 malam pada hari yang sama.

Terdahulu, sekumpulan mahasiswa terdiri daripada anggota Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) termasuk empat mahasiswa yang ditahan itu menyerahkan memorandum kepada Saifuddin meminta agar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan.

Saifuddin berkata pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia mendengar sebarang pandangan dan cadangan daripada mana-mana pihak mengenai akta itu.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More