Monday, November 8, 2010

KPT tubuh bilik gerakan pantau banjir

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi telah menubuhkan Bilik Gerakan Maklumat Banjir berikutan kejadian banjir yang semakin buruk di Kedah dan Perlis.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bilik gerakan tersebut akan memantau perkembangan banjir yang melibatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik serta kolej komuniti di seluruh negara.

"Bilik gerakan ini akan bertindak menyalurkan maklumat terkini mengenai pelajar dan kakitangan institusi yang menjadi mangsa banjir.

"Kami juga akan memaklumkan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi menjamin keselamatan dan kebajikan pelajar-pelajar yang terjejas akibat banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kolej Damansara Utama sebagai KDU Universiti Kolej.

Turut hadir, tokoh akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Canselor KDU Universiti Kolej, Datuk Teo Chiang Quan.

Banjir yang melanda Perlis dan Kedah kali ini disifatkan paling buruk berbanding apa yang berlaku pada Disember 2005 dengan lebih 35,000 mangsa telah dipindahkan ke pusat penempatan sementara setakat ini.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More