Tuesday, November 2, 2010

P Pinang tanpa beg plastik setiap hari bermula 1 Jan

GEORGETOWN 2 Nov. – Mulai 1 Jan 2011, semua pasar raya besar (hypermarket), pasar raya, farmasi, restoran makanan segera, rangkaian nasi kandar dan kedai serbaneka (termasuk kiosk stesen minyak) diminta melaksanakan ”hari tanpa beg plastik” setiap hari.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, ”hari tanpa beg plastik” itu merupakan langkah negeri ini untuk menjadi negeri hijau yang pertama di Malaysia.

"Maklum balas dari 73 pengusaha yang menandatangani deklarasi pengurangan penggunaan beg plastik menunjukkan bahawa mulai 1 Julai 2009 hingga 26 Okt 2010, Pulau Pinang berjaya menjimatkan 32,508,418 beg plastik,” katanya ketika pembentangan Bajet 2011 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau berkata, pasar mini dan premis perniagaan tunggal juga perlu mematuhi syarat baru semasa pembaharuan lesen iaitu melaksanakan ”hari tanpa beg plastik” tiga hari seminggu iaitu pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu.

Kerajaan negeri akan menghebahkan program itu melalui pelbagai pendekatan seperti mendirikan papan iklan dan mengedarkan 500,000 risalah untuk menerangkan kepentingan ”hari tanpa beg plastik”, katanya. – Bernama


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More