Saturday, July 24, 2010

Sekapur Sireh

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana memberikan nikmat yang tidak terhingga kepada kita sehingga ke hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta para sahabat sehingga ke akhir zaman. Selaku pengerusi Jemaah YDP MPP Malaysia dan jurucakap MPPK, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada memberi kepercayaan buat saya memimpin Jemaah YDP kali ini. Sokongan yang anda berikan merupakan amanah yang akan saya laksanakan sebaiknya. Begitu juga kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi yang komited membantu Jemaah YDP dalam melancarkan pergerakan kita.

Melalui Jemaah YDP MPP Malaysia ini, ia menjadi landasan terbaik YDP MPP Malaysia bertukar-tukar idea serta bertindak menangani isu mahasiswa dan seterusnya membantu hasrat kerajaan melahirkan modal insan mahasiswa. Sesungguhnya usaha murni kita ini tidak mungkin akan dapat direalisasikan kecuali dengan komitmen berterusan dan bersungguh-sungguh. Semoga Jemaah YDP MPP Malaysia kali ini dapat memberikan output terbaik untuk mahasiswa di Malaysia.

Ahmad Wafi bin Sahedan

YDP MPP USM 2009/2010,
Pengerusi Jemaah YDP MPP Malaysia, merangkap
Jurucakap Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan


Relevankah Penggantungan PTPTN Ke Atas Mahasiswa Bermasalah Akademik?

Dalam kita menempuh alam kampus sebagai mahasiswa, kita sentiasa berdepan pelbagai risiko. Sama ada risiko itu berpunca daripada tindakan kita sendiri, ataupun ia berlaku di luar kawalan kita, namun impaknya tetap sama. Hanya kita yang mengalami dan merasainya.

Ada waktunya kita mungkin terjatuh kerana tersalah langkah. Ada waktunya, kita terus tersungkur. Pada masa itu, kita sekali lagi terdesak sama ada untuk bangun atau terus mengalah. Jika kita berusaha untuk bangun dan kembali melangkah, kita mungkin akan berhadapan dengan lebih banyak cabaran.

Soalnya, adakah kita bersedia? Jika ketika kita jatuh, kita dihukum pula, jadi bagaimana kita hendak bangun?

Mungkin inilah dilema yang dihadapi oleh segelintir sahabat kita yang mengalami situasi sudah jatuh ditimpa tangga pula seperti yang digambarkan sebentar tadi. AC ingin mengajak sahabat-sahabat semua untuk menginsafi diri masing-masing dengan mengambil iktibar yang sewajarnya dan pada masa yang sama berkongsi masalah ini dengan hati yang terbuka.

Ketika kita ‘berbelanja mewah’ menggunakan wang pinjaman PTPTN dan biasiswa masing-masing, sebenarnya, ada antara kita yang mengikat perut dan berperang dengan semangat untuk meneruskan pengajian masing-masing kerana pinjaman mereka disekat atau ditahan kerana keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan.

Kita menerima ini sebagai satu bentuk hukuman. Tetapi masihkah ia relevan dalam situasi hari ini? Kita semua tentunya bersetuju bahawa kehidupan sebagai mahasiswa tidak dapat dipisahkan daripada menggunakan wang yang banyak sama ada untuk perbelanjaan diri sendiri ataupun untuk urusan pengajian sehari-hari.

AC bukanlah hendak membela mereka yang membuat salah, tetapi sebagai mahasiswa, terdetik juga barangkali di hati kita ini betapa hukuman sebegitu kelihatan lebih kepada menghukum, bukannya mengatasi puncanya. AC mengambil pendirian bahawa masalah sebegini perlu diatasi di peringkat puncanya, dan bukannya hanya terus mencatas pucuk sebagai satu bentuk hukuman.

Bagaimana golongan pelajar malang ini hendak meneruskan pengajian mereka jika tidak berduit, apatah lagi untuk membaiki keputusan mereka? Motivasi mereka tentunya merudum lebih teruk daripada sentimen penyesalan sendiri. Hendak pinjam? Siapa yang hendak bagi kalau satu semester sentiasa perlu meminjam?


Terima Kasih MPP USM 2009/2010

Minden : Sebahagian besar penuntut USM memulakan pengajian masing-masing dengan senyuman lebar. Masakan tidak, semester ini menyaksikan urusan kemasukan wang pinjaman PTPTN dan biasiswa JPA lebih awal berbanding biasa.

Bagi mereka yang menerima biasiswa JPA misalnya, ‘bahagian’ masing-masing telah dikreditkan kira-kira seminggu sebelum bermulanya semester baru manakala pinjaman PTPTN dikreditkan beberapa hari lebih awal.

Perkembangan positif dalam urusan kemasukan wang pinjaman dan biasiswa pelajar pada semester ini ternyata amat melegakan. Jika dahulu ia sering menjadi keluhan utama setiap kali bermulanya semester baru, namun hari ini ia bukan lagi satu masalah yang membebankan para pelajar di USM.

Justeru kita semua seharusnya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang berjaya mengatasi masalah tersebut khususnya Jabatan Bendahari USM dan pihak Majlis Perwakilan Pelajar yang sentiasa memperjuangkan hak dan kebajikan mahasiswa di semua kampus.

Pada masa yang sama, kita juga perlu berterima kasih kerana perjuangan MPP menuntut penambahbaikan dan peningkatan kecekapan yang menyeluruh dalam semua sektor semakin membuahkan hasilnya dan impaknya mula dinikmati sedikit demi sedikit.

Misalnya, MPP USM sejak dahulu lagi sentiasa berjuang menuntut pengurangan caj perkhidmatan yang dikenakan oleh PTPTN ke atas peminjam. Hasilnya, hari ini ia telah dikurangkan kepada hanya 1% sahaja meskipun tuntutan asal adalah untuk menghapuskan terus caj tersebut.

Semua ini hanya mampu dicapai jika perjuangan yang digerakkan mengutamakan nilai-nilai positif seperti toleransi, rasional dan realistik bagi memastikan aspirasi mahasiswa sentiasa seiring dengan aspirasi universiti di bawah satu bumbung yang sama.




Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More