Wednesday, November 10, 2010

USM RAIH SEMBILAN ANUGERAH DI BIO MALAYSIA 2010

Gambar : Prof. Asma Ismail (tiga dari kiri) bersama pasukan penyelidik USM dengan anugerah yang diterima di Pameran Bio Malaysia 2010.

PULAU PINANG, NOV 4: Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat kejayaan 100% apabila berjaya meraih sembilan anugerah hasil penyertaan di Pameran Bio Malaysia 2010.

Dalam pertandingan yang berlangsung pada 1-3 November 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini, USM merangkul empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa menerusi lapan produk penyelidikan yang dipertandingkan di dalam lima kategori iaitu pertanian/industri berasaskan pertanian, penyelidikan industri, penyelidikan perubatan, farmaseutikal dan kesihatan serta dari buangan ke penjanaan kekayaan.

Selain itu, USM turut meraih Anugerah Khas ‘Most Creative Booth’ hasil gabungan konsep dan idea dua pensyarah Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Prof. Madya Aldrin Abdullah dan Prof. Madya Azizi Bahauddin.

Pameran Bio Malaysia 2010 dirasmikan oleh Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan disertai oleh lebih 200 orang penyelidik dari seluruh negara.

Keputusan penuh penyertaan USM adalah seperti berikut:

EMAS

PRODUK: EzGenostick: A Rapid Universal Kit for PCR Amplicon Detection

PENYELIDIK: Lim Boon Huat, Dr. , P.P. Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan

PRODUK: Haruan Wound Spray

PENYELIDIK: Saringat Bai @ Baie, Prof., P.P. Sains Farmasi, Kampus Induk

PRODUK: A Quick Verification/ Differentiation Method of Fresh/ Minced Chicken and Pork Meat

PENYELIDIK: Azhar Mat Easa, Prof., P.P. Teknologi Industri, Kampus Induk

PRODUK: Meli-Dot Enzyme Immunoassay kit

PENYELIDIK: Zainoodin Sheik Abdul Kader, Dr. , Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT)

PERAK

PRODUK: ManjaProtect

PENYELIDIK: Hasmah Abdullah, Dr., P.P. Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan

PRODUK: ‘Nutri-Mushroom Patty’

PENYELIDIK: Wan Rosli Wan Ishak, Dr., P.P. Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan

GANGSA

PRODUK: A Microbial-Enhanced Crude Oil Distillation Process

PENYELIDIK: Ahmad Ramli Mohd Yahya, Dr., P.P. Sains Kajihayat, Kampus Induk

PRODUK: SA-Cleanse: A New Herbal Mouthwash That Can Potentially Be Used As A Chemopreventive Agent

PENYELIDIK: Md Azman PKM Seeni Mohamed,Dr., P.P. Sains Pergigian, Kampus Kesihatan

ANUGERAH KHAS ‘MOST CREATIVE BOOTH’

Aldrin Abdullah, Prof. Madya Dr. & Azizi Bahauddin, Prof. Madya Dr.

P.P. Perumahan, Bangunan & Perancangan,

Kampus Induk


SISTEM ROBOTIK DALAM AIR USM: Inovasi Tempatan Untuk Pelbagai Tujuan

Gambar : Inovasi sistem robotik dalam air, IHUV, yang pertama hasil ciptaan saintis tempatan dari USM.

PULAU PINANG, 9 NOV: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah apabila berjaya menghasilkan sistem robotik dalam air yang bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pertahanan negara malah juga menggiatkan lagi perkembangan industri perkapalan dan penyelidikan marin.

Sistem robotik berkenaan, ‘Intelligent Hybrid Underwater Vehicle’ atau juga dikenali sebagai IHUV berupaya menyelam sehingga pada kedalaman 100 meter untuk tujuan pemantauan dan pemetaan dasar laut dan mengimbas sebarang objek pada jarak sejauh 200 meter.

Tambah menarik lagi, IHUV yang dihasilkan oleh Prof. Madya Mohd Rizal Arshad dari Kumpulan Penyelidik Robotik Dalam Air, Pusat Pengajian Elektrik dan Elektronik, Kampus Kejuruteraan USM ini mampu beroperasi secara bebas tanpa perlu dikawal secara manual oleh penggunanya.

“IHUV beroperasi dengan menggunakan kuasa bateri yang mampu bertahan sehingga lebih dari 6 jam dan berupaya memberikan imej pengimbasan maya dalam bentuk 3 dimensi bentuk muka bumi serta objek-objek lain yang diimbas sewaktu beroperasi.

“Inilah teknologi pertama yang dihasilkan oleh penyelidik tempatan yang dilihat berupaya untuk membantu negara dalam pelbagai jenis aplikasi. Ianya sesuai untuk digunakan sebagai robot peninjau dalam membantu operasi ketenteraan dan juga boleh membantu di dalam pelbagai bentuk proses pengutipan data yang melibatkan ekosistem dan perubahan bentuk muka bumi perairan negara,”kata beliau ketika mengadakan sidang media di USM hari ini.

Dengan jangkaan nilai kos penghasilan sekitar RM3 juta, IHUV juga dilihat sebagai alternatif yang jauh lebih murah berbanding mana-mana produk buatan negara asing yang berada pada harga jualan sekitar RM29 juta di pasaran komersil.

Selain IHUV, Prof. Madya Mohd Rizal dan pasukan penyelidik beliau yang terdiri daripada enam orang pensyarah dan 20 orang pelajar Pusat Pengajian Elektrik dan Elektronik serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal turut menghasilkan lima lagi sistem robotik dalam air yang lain termasuk sistem perisian khas bagi kegunaan yang pelbagai.

Menurut beliau, sistem robotik berkenaan yang dikenali sebagai ‘Autonomous Surface Vessel (ASV) Platform’,’Small Class Inspection Remotely Operated Vehicle’ (SCIROV), ‘Autonomous Underwater Vertical Profiler’ (AUVeP) dan ‘Underwater Glider Platform’ mampu memenuhi keperluan negara untuk menjadi peneraju di dalam penerokaan marin dan oseanografi.

‘ASV dan SCIROV dihasilkan dengan tujuan yang hampir sama dengan IHUV tetapi lebih sesuai diguanakan di kawasan perairan yang lebih cetek. Selain mampu mengutip data di perairan negara, ASV dan SCIROV juga boleh digunakan menggiatkan pembangunan industri perkapalan negara contohnya bagi memeriksa keretakan pada badan kapal besar (hull cracking) dalam masa yang singkat berbanding kaedah sedia ada yang memerlukan kapal dinaikkan ke dok sehingga tempoh dua bulan untuk pemeriksaan yang sama.

‘AUVeP dan ‘Underwater Glider Platform’ pula akan memungkin aktiviti pengutipan data seperti kemasinan dan suhu air laut pada kedalaman yang tertentu. Ini akan memungkinkan aktiviti pengutipann data untuk pelbagai tujuan penyelidikan yang boleh digunakan untuk pemantauan ekosistem dan perancangan polisi marin yang bersesuaian,” tegas beliau.

Penyelidikan beliau ini bermula sejak tahun 2007 dengan geran penyelidikan bernilai RM4.2 juta oleh Direktorat Oseanografi Kebangsaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.


Tuesday, November 9, 2010

Hanya bahasa Melayu bahasa rasmi - Nik Safiah

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Hanya bahasa Melayu boleh diiktiraf sebagai bahasa rasmi di negara ini.

Tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, sehubungan itu, mana-mana pihak di negara ini tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak pernah melarang penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat malah menggalakkan mereka menguasai bahasa antarabangsa itu.

"Kita juga telah menjadikan bahasa Inggeris selaku bahasa pengantar kedua di sekolah-sekolah selepas bahasa Melayu.

"Adakah ini masih belum mencukupi sehingga bahasa itu (Inggeris) juga perlu dijadikan bahasa rasmi?," soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Safiah berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan wakil parti DAP dari Datuk Keramat, Pulau Pinang, Jagdip Singh Deo yang mahukan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua di negeri itu.

Menurut Jagdip, ia selaras dengan hasrat menjadikan negeri itu sebagai bandar antarabangsa pada masa depan.

Cadangan wakil DAP itu disuarakan ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

Dalam pada itu, Nik Safiah menambah, penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa kedua dilihat seakan-akan memberi persaingan terhadap bahasa kebangsaan itu.

"Justeru, saya sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa rasmi kedua walaupun di Pulau Pinang," tegasnya lagi.


KPT Sasar 75 Peratus Pensyarah PhD

TEMERLOH: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan 75 peratus pensyarah yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) mengajar di di setiap 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata sasaran itu meliputi kepakaran dalam semua bidang pengajian di IPTA.

"Kita harap dengan memiliki ramai pensyarah berkelulusan PhD ia dapat melahirkan lebih ramai pelajar berkeupayaan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Bahagian Pendidikan Masyarakat Kemas Parlimen Temerloh di Kampung Pangsenam dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya difahamkan hanya 34 peratus pensyarah di IPTA mempunyai kelulusan berkenaan dan ia masih tidak mencukupi bagi menghasilkan mahasiswa yang baik dan kompetitif.

"Kita mahu pensyarah yang lebih pandai daripada pelajar dan mempunyai personaliti yang baik bagi menghasilkan IPTA bertaraf dunia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pensyarah kanan kini boleh terus dinaikkan pangkat ke jawatan “Turus” tanpa perlu memegang jawatan di bahagian pengurusan.

Katanya, sebelum ini mereka (pensyarah kanan) perlu memegang jawatan Naib Canselor terlebih dahulu sebelum dilantik ke jawatan Turus.

Beliau juga berberharap pihak pengurusan universiti kelak menggunakan Bajet 2011 sebaik-baiknya bagi meningkatkan lagi kualiti pengurusan dan melahirkan mahasiswa yang kreatif dan kritis.

"Pada pembentangan Bajet 2011, KPT telah menerima penambahan peruntukan sebanyak 14.5 peratus iaitu sebanyak RM10.2 bilion berbanding RM8.9 bilion bajet tahun 2010. "Penambahan bajet itu menunjukkan kerajaan peka terhadap keperluan universiti bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan mampu memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dan profesional," kata Saifuddin. - BERNAMA


Pendidikan Hijau Penting Untuk Peluang Pekerjaan Baru

SHAH ALAM: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini dicadang untuk memperkasakan program pendidikan hijau bagi mempersiapkan mahasiswa dengan peluang pekerjaan baru pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata keperluan tenaga kerja mahir pada masa depan lebih berlandaskan kepada teknologi hijau yang menjadi agenda utama pembangunan berteraskan ekonomi hijau dan pelestarian alam sekitar.

"Hijau hari ini bukan sahaja satu trend dan fesyen tetapi merupakan amalan yang sangat penting dalam memastikan alam sekitar terpelihara dalam usaha mengeimbangkan ekonomi dan masyarakat alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang DIGI Anugerah Cabaran untuk Perubahan.

Katanya beliau percaya keperluan tenaga mahir dalam bidang teknologi hijau semakin meningkat yang akan mencipta lebih banyak peluang pasaran pekerjaan kepada bakal graduan tempatan.

Beliau berkata walaupun terdapat beberapa IPT yang menawarkan bidang pendidikan hijau, namun lebih banyak kursus dan program seumpama itu perlu dipertingkatkan bagi mempersiapkan graduan untuk memenuhi kehendak pasaran.

Kementerian akan terus memperhebat lagi program berbentuk latihan serta kesedaran berkaitan teknologi hijau kepada para mahasiswa dan setakat ini sebanyak 14 IPT Awam menawarkan kursus berkaitan teknologi itu di peringkat diploma dan sarjana muda, katanya.

Saifuddin berkata kementerian turut merangka kandungan pengajian berkenaan selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara.-BERNAMA


Monday, November 8, 2010

I’m In Control tangani masalah seksual

Remaja hari ini cukup terganggu secara fizikal, mental, emosi dan spiritual dengan pelbagai kegiatan jenayah yang berlaku hampir setiap hari.

Kebanyakannya memfokuskan kepada remaja dan masalah sosial itu tiada hentinya untuk dibicarakan. Kesedaran remaja dalam menangani masalah seksualiti seperti jangkitan tularan seksual, gangguan seksual, penderaan dan rogol sejak akhir-akhir ini juga semakin terhakis.

Mereka mengabaikan tanggungjawab tersebut dengan alasan ia tidak penting dalam menerajui arus kemodenan dewasa ini terutama dalam menangani gejala negatif seumpama itu.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini pelajar Kolej Komuniti Temerloh menganjurkan bengkel I’m In Control dalam usaha meningkatkan kesedaran remaja dalam membuat tindakan bijak menangani isu-isu itu di persekitaran mereka.

Program julung-julung kali diadakan itu dianjurkan secara bersama Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara Pahang (LPPKN), Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dan Pusat Kesedaran Wanita itu

Antara kandungan bengkel ini menumpukan kepada nilai dan tanggungjawab seksualiti, tingkah laku yang membawa risiko kehamilan, penyakit HIV dan AIDS.

Pengarah Kolej Komuniti Temerloh, Abdul Razak Sabtu berkata, program ini memberi pendedahan awal kepada pelajar Kolej Komuniti yang terdiri daripada remaja.

“Mereka adalah golongan yang sering terdedah kepada tingkahlaku yang menjerumuskan mereka dalam kes pembuangan bayi, melakukan hubungan seks bebas atau seks songsang.

“Melalui pendekatan ini, kita harap mereka akan sedar dan menjauhi diri daripada terlibat dengan gejala moral tersebut,” katanya.

Abdul Razak mengulas lanjut, program yang dilaksanakan LPPKN akan didedahkan kepada sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Pengisian modul akan dimantapkan pada masa depan melalui maklum balas dan penilaian yang diterima daripada para peserta serta fasilitator,” katanya.


Artikel disediakan oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK (Kampus@utusan.com.my).


Wajibkan kepujian Sejarah bagi pengambilan pelajar di semua IPTA

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersetuju dengan langkah Universiti Teknologi Mara (UiTM) mensyaratkan kepujian dalam subjek Sejarah untuk mengikuti kursus-kursusnya mulai pengambilan Julai tahun depan dan berharap ia turut diwajibkan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, ia penting bagi memastikan penuntut baru yang mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan di universiti lebih memahami sejarah negara.

Menurutnya, mungkin langkah itu dianggap sesetengah pihak sebagai terlalu drastik, namun jika diteliti ia memberi kesan positif malah menyokong usaha menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

"Gagasan menyokong penuh syarat baru UiTM yang diumumkan Naib Canselor (Prof. Datuk Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar) untuk kemasukan penuntut pada pengambilan Julai tahun depan.

"Usaha ini perlu dicontohi IPTA lain. Kita minta Kementerian Pengajian Tinggi menjadikannya syarat untuk kemasukan pelajar ke IPTA di seluruh negara tahun depan," katanya kepadaMingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sahol Hamid bahawa kepujian subjek Sejarah akan menjadi salah satu syarat yang perlu ada sekiranya mahu mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan UiTM mulai pengambilan Julai tahun depan.

Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad juga bersetuju dengan langkah tersebut, tetapi berasakan ia perlu diperhalusi kerana bimbang timbulnya kesan negatif terhadap pengambilan penuntut ke UiTM.

''Kita bercakap tentang kepujian subjek Sejarah, bukannya lulus subjek tersebut dan saya berasakan ini akan mengambil sedikit masa.

''Mungkin pihak UiTM boleh memanjangkan masa pelaksanaan tersebut ke 2013 berbanding Julai tahun depan kerana tempoh itu terlalu singkat untuk sebarang perubahan,'' jelasnya.

Bagi tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula, langkah UiTM itu wajar diikuti oleh IPTA lain kerana sudah tiba masanya generasi muda memahami sejarah negara.

Katanya, langkah tersebut membolehkan semua pelajar di setiap peringkat sekolah memberi perhatian yang lebih kepada subjek Sejarah kerana khuatir tidak dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA sekiranya tidak mendapat kepujian.

Sementara itu pensyarah Sejarah di Pusat Pengajian Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa beranggapan langkah UiTM itu terlalu terburu-buru.

Katanya, perkara yang membabitkan perubahan perlu mengambil masa serta tidak boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat kerana ia akan memberi beban kepada para pelajar.


KPT tubuh bilik gerakan pantau banjir

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi telah menubuhkan Bilik Gerakan Maklumat Banjir berikutan kejadian banjir yang semakin buruk di Kedah dan Perlis.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bilik gerakan tersebut akan memantau perkembangan banjir yang melibatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik serta kolej komuniti di seluruh negara.

"Bilik gerakan ini akan bertindak menyalurkan maklumat terkini mengenai pelajar dan kakitangan institusi yang menjadi mangsa banjir.

"Kami juga akan memaklumkan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi menjamin keselamatan dan kebajikan pelajar-pelajar yang terjejas akibat banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kolej Damansara Utama sebagai KDU Universiti Kolej.

Turut hadir, tokoh akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Canselor KDU Universiti Kolej, Datuk Teo Chiang Quan.

Banjir yang melanda Perlis dan Kedah kali ini disifatkan paling buruk berbanding apa yang berlaku pada Disember 2005 dengan lebih 35,000 mangsa telah dipindahkan ke pusat penempatan sementara setakat ini.


Tuesday, November 2, 2010

P Pinang tanpa beg plastik setiap hari bermula 1 Jan

GEORGETOWN 2 Nov. – Mulai 1 Jan 2011, semua pasar raya besar (hypermarket), pasar raya, farmasi, restoran makanan segera, rangkaian nasi kandar dan kedai serbaneka (termasuk kiosk stesen minyak) diminta melaksanakan ”hari tanpa beg plastik” setiap hari.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, ”hari tanpa beg plastik” itu merupakan langkah negeri ini untuk menjadi negeri hijau yang pertama di Malaysia.

"Maklum balas dari 73 pengusaha yang menandatangani deklarasi pengurangan penggunaan beg plastik menunjukkan bahawa mulai 1 Julai 2009 hingga 26 Okt 2010, Pulau Pinang berjaya menjimatkan 32,508,418 beg plastik,” katanya ketika pembentangan Bajet 2011 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau berkata, pasar mini dan premis perniagaan tunggal juga perlu mematuhi syarat baru semasa pembaharuan lesen iaitu melaksanakan ”hari tanpa beg plastik” tiga hari seminggu iaitu pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu.

Kerajaan negeri akan menghebahkan program itu melalui pelbagai pendekatan seperti mendirikan papan iklan dan mengedarkan 500,000 risalah untuk menerangkan kepentingan ”hari tanpa beg plastik”, katanya. – Bernama


Monday, November 1, 2010

YDP MPMUM Kesal Difitnah Malaysiakini.

Kuala Lumpur, 2 Nov. - Yang DiPertua, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Saudara Khairul Anuar Abu Kasim kesal dengan tindakan sebuah portal bebas yang menerbitkan artikel berbaur fitnah dengan menggunakan namanya sebagai penulis.

Dalam satu kenyataan yang dipetik daripada laman sosial Facebook milik beliau, Khairul Anuar mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab tersebut yang cuba mengaitkan MPMUM secara tidak langsung dalam isu penubuhan hub hiburan bagi memacu Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Malaysikini hari ini menyiarkan laporan yang kononnya ditulis oleh Khairul Anuar Abu Kasim dengan tajuk MPMUM Sokong ETP, Hab Pusat Hiburan Malam. Sebahagian besar artikel tersebut cuba menggambarkan sokongan penuh YDP MPMUM dan MPMUM sendiri terhadap cadangan penubuhan hub hiburan malam berkenaan.

Khairul Anuar dalam pada itu tidak menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh portal tersebut didalangi pihak tertentu yang berniat jahat memburukkan dirinya dan MPMUM secara langsung. Hal ini demikian kerana, MPMUM sentiasa mendapat perhatian daripada pihak-pihak tertentu khususnya parti-parti politik haluan kiri yang berminat menguasai politik kampus. - Media Kampus


BBQ PPSL Induk

Minden, 2 Nov. - Pengurusan Induk PPSL USM Kampus Utama akan menganjurkan Majlis Barbeku untuk para PPSL sidang akademik 2010/2011 pada malam ini jam 8.30 malam bertempat di Tasik Harapan.

Semua PPSL Kampus Induk dipelawa menyertai majlis penghargaan ini. Tiada bayaran dikenakan.


MPP Anjur Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat

Minden, 2 Nov. - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia Kampus Induk akan menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Sempena Minggu Peperiksaan Akhir Semester pada hari Jumaat ini bertarikh 5hb November 2010 bersamaan 28 Zulkaedah 1431H bertempat di Masjid Al-Malik Khalid, USM selepas solat Maghrib.

Menurut Yang DiPertua MPP USM, Saudara Ahmad Wafi Shahedan, majlis berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Sekretariat Majlis Penghuni Desasiswa USM Kampus Induk dan juga Gabungan Anak-anak Pulau Pinang USM (GAPI).

Majlis itu juga adalah satu bentuk kesinambungan bagi majlis-majlis sebelum ini yang dianjurkan oleh MPP USM setiap kali tiba musim peperiksaan di USM. Justeru beliau mengharapkan penglibatan daripada para pelajar supaya bersama-sama memohon keberkatan bagi menghadapi peperiksaan akhir semester kelak.

Dalam perkembangan lain, beliau juga mengulas mengenai ketiadaan penganjuran Program Motivasi Pecutan Akhir seperti yang dilaksanakan pada tahun lepas. Menurut beliau, MPP menghadapi beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan dan pihaknya akan cuba menganjurkan program seumpamanya pada semester hadapan - Media Kampus.


Tindakan Siswa Di Galas Selepas Teliti Laporan Polis

Kuala Lumpur, 1 Nov (Bernama) – Kementerian Pengajian Tinggi akan hanya memutuskan bentuk tindakan terhadap empat penuntut institusi pengajian tinggi, yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas selepas menerima laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Kelantan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) bagaimanapun berkata jika peristiwa sedemikian berlaku, lazimnya kementerian akan dimaklumkan dan kemudian menyerahkan kepada pihak universiti untuk menjalankan siasatan.

“Dalam hal ini, polis sudah pun melakukan siasatan. Oleh itu, kita akan melihat apakah tindakan yang boleh dilakukan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada hari Isnin.

Semalam, empat mahasiswa iaitu Ahmad Syukri Che Ab. Razab, Mohd Rijaludeen Mohd Anwar, Mohd Yusof Hadhari dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli ditahan polis pada kira-kira 1.30 petang ketika menyebarkan risalah menyeru penduduk tempatan menggunakan hak demokrasi mereka untuk mengundi.

Mereka kemudiannya dibawa ke IPD Gua Musang untuk disoal siasat sebelum dibebaskan pada 9.15 malam pada hari yang sama.

Terdahulu, sekumpulan mahasiswa terdiri daripada anggota Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) termasuk empat mahasiswa yang ditahan itu menyerahkan memorandum kepada Saifuddin meminta agar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan.

Saifuddin berkata pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia mendengar sebarang pandangan dan cadangan daripada mana-mana pihak mengenai akta itu.


Pro dan Kontra Projek Menara Warisan Merdeka

Sesuatu yang kita masih belum nampak di sebalik pembinaan Menara Warisan ialah keuntungan jangka panjangnya. Manfaatnya, seperti dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh CIDB baru-baru ini, terlalu besar khususnya terhadap industri pembinaan di negara ini. Ia bukan sekadar isu tapak atau berapa tinggi bangunan itu hendak didirikan, juga bukan soal modal yang cukup besar nilainya sehingga mampu membina lebih kurang 11 buah lapangan terbang utama di Malaysia, tetapi bagaimana setiap tingkat menara itu kelak mampu menjana pulangan kepada para pelabur dan rakyat negara ini pada masa hadapan.

Menara yang bakal menjadi satu lagi mercu tanda kemegahan negara di tengah kepesatan ekonomi Kuala Lumpur dengan ketinggian 100 tingkat itu telah diumumkan pembinaannya oleh Perdana Menteri DS Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 baru-baru ini. Tanpa menggunakan peruntukan khusus daripada pihak kerajaan, menara itu kelak akan dibina sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan menggunakan kos sebanyak RM 5 bilion.

Sebaik saja diumumkan oleh Perdana Menteri, ia segera menarik perhatian seluruh lapisan rakyat di negara ini. Pelbagai pihak tampil mengemukakan pandangan masing-masing terutamanya ahli-ahli politik. Sehingga kini, suara yang menentang idea pembinaan menara tersebut ternyata lebih kritikal berbanding suara-suara yang menyokong. Sebagai contoh, sebuah page group di Facebook yang menentang cadangan ini, sehingga artikel ini ditulis, telah berjaya mengumpul sokongan lebih 211,000 orang pengguna di laman sosial tersebut.

Walaupun sokongan itu sebenarnya bercampur-baur disebabkan oleh faktor format ‘like’ yang digunakan (mereka yang menyokong Menara Warisan tetap perlu menyertainya untuk berkomentar sekaligus menaikkan rating atau hits kumpulan tersebut), namun sedikit sebanyak ia telah digunakan sebagai manifestasi suara rakyat bawahan yang menolak pembinaan Menara Warisan kerana dianggap membazir wang pelabur atau rakyat dan juga mengundang pelbagai masalah berbangkit terutamanya pencemaran alam sekitar, masalah sosial dan sebagainya lagi.

AC percaya, ramai dalam kalangan kita di USM yang telah menyertai komuniti maya tersebut kerana berkongsi pendapat yang sama dengan rakyat Malaysia di luar sana. Meskipun terdapat segelintir ahli politik khususnya pihak pembangkang yang menggunakan group tersebut sebagai modal menghentam Perdana Menteri, tetapi kami percaya, asasnya tetap sama iaitu berbalik kepada soal keperluan membina sebuah bangunan tinggi di tengah-tengah kekalutan Kuala Lumpur pada waktu negara sedang pulih daripada kejatuhan FDI akibat krisis ekonomi baru-baru ini.

Ramai yang melihat pengumuman oleh Perdana Menteri itu sendiri sebagai sesuatu yang silap. Ia dikatakan dilakukan pada masa dan tempat yang salah. Walaupun idea Menara Warisan dianggap sebagai bukti komitmen kerajaan DS Najib terhadap pembangunan ekonomi baru di Malaysia, hakikatnya, masih banyak sektor pembinaan lain yang sepatutnya didahulukan berbanding melabur dalam pembinaan sebuah bangunan tinggi yang bakal memberikan manfaat kepada golongan tertentu saja.

Sebagai contoh, mutu kemudahan awam yang rendah di kawasan pedalaman dan di sesetengah kawasan bandar ternyata masih membelenggu kehidupan rakyat marhein di negara ini. Hal inilah yang sebenarnya menyebabkan rakyat rimas dengan sesetengah tindak tanduk atau keputusan yang bersifat ‘gempak’ daripada pihak kerajaan. Pada rakyat, apa gunanya bangunan tinggi untuk dimegah-megahkan kalau jambatan dan jalan raya di bawah masih berlopak-lopak di sana sini!

Pun tentu, bolehkah kita melihat isu Menara Warisan ini dari satu sudut sahaja? Boleh, tetapi itu hanya mencerminkan pendirian kita yang tidak seimbang. Seperti yang AC tegaskan awal-awal tadi, keuntungan daripada pembinaannya hanya boleh dinikmati selepas ia mula menjana pulangan yang konsisten kepada negara. Mungkin masa yang diambil masih panjang, namun ia adalah formal dalam sektor hartanah di mana-mana jua.

KLIA dan KLCC, sebagai contoh, merupakan dua buah projek yang kini menempa pelbagai kejayaan untuk Malaysia. KLIA menjadi hub transit kepada sistem pengangkutan utama negara, juga menjadi pintu masuk terpenting Malaysia yang menghubungkan dunia luar dengan rakyat negara ini. KLCC pula kini berdiri megah sebagai lambang kejayaan sebuah konglomerat GLC ulung kita iaitu Petronas. Apa yang pasti, sama seperti Menara Warisan, kedua-duanya pernah dikritik keras sebelum ini sebelum muncul sebagai nadi pertumbuhan ekonomi Malaysia moden di samping menyediakan ribuan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat di negara ini.

Tegasnya, kerajaan mempunyai alasan yang cukup kukuh untuk melaksanakan pembinaan menara tersebut. Pembinaan bangunan itu bakal menjadi lambang kemodenan dan kemajuan negara di samping dapat memacu pembangunan ekonomi negara.

“Pertamanya, kita nak satu bangunan yang menjadi lambang bukan sahaja moden tapi negara maju, kita juga nak mencetuskan perkembangan ekonomi... Banyak kerja-kerja kontrak dan sebagainya yang boleh kita agihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi. Kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan yang menempatkan peniaga-peniaga bumiputera dan bukan bumiputera. Ia juga boleh menjadi pusat tarikan yang boleh memberi keuntungan,” kata Perdana Menteri ketika membentangkan cadangan ini dahulu.

Samada kita sedar atau pun tidak, AC cukup yakin dan percaya, sebab utama projek ini ditentang bukanlah semata-mata kerana ia dianggap membazir, tetapi lebih menjurus kepada dendam politik antara pihak tertentu terhadap usaha positif kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi baru di negara ini. Hal ini demikian kerana, penjelasan berkenaan profile menara ini sudah pun dilakukan oleh pihak kerajaan dan juga PNB sendiri tetapi gagal difahami oleh sesetengah pihak yang sebaliknya terus mempolitikkannya untuk kepentingan jangka pendek.

DS Najib misalnya, awal-awal lagi memaklumkan bahawa menara ini bukan pembaziran wang negara sebaliknya bakal menguntungkan rakyat dan negara ini setelah siap kelak. Projek berkenaan melibatkan tanah milik kerajaan, bukannya rakyat. Ia bakal dibina di tapak yang merangkumi kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, dan sebagai Perdana Menteri, apa yang dilakukan adalah satu tanggungjawab iaitu memenuhi tuntutan untuk mengkomersialkan kawasan berkenaan sesuai dengan perkembangan ekonomi semasa sekali gus mensinergikan sosio-ekonomi di ibu negara yang semakin pesat berkembang ketika ini.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman telah menjelaskan kedudukan sebenar projek Menara Warisan bernilai RM5 bilion yang cuba dijadikan satu isu sebagai projek membazir. Hamad Kama Piah menjelaskan PNB tidak akan menggunakan wang pelabur unit amanah dan juga wang kerajaan untuk projek berkenaan. Sebaliknya, projek tersebut akan dimajukan menggunakan wang hasil tabungan PNB sendiri. PNB membeli tanah itu pada harga RM310 juta pada tahun 2000 daripada Danaharta dan projek Menara Warisan itu diluluskan oleh lembaga pengarah PNB pada tahun 2004. Hamad Kama Piah menjangka projek itu akan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Justeru AC yakin dan percaya, rakan-rakan semua mampu cakna isu ini sebaik mungkin sebelum memutuskan pendirian masing-masing. Penulisan ini tidak bertujuan menyatakan sokongan atau membantah, sebaliknya sekadar mengusulkan beberapa kemungkinan pro dan kontra yang bakal kita semua sebagai rakyat nikmati melalui pembinaannya kelak. Apa-apa pun, satu fakta yang sukar untuk dinafikan di sini ialah, track record PNB sendiri yang cukup cemerlang sejak tahun 1981 diyakini mampu menguruskan Projek Menara Warisan Merdeka ini dengan jayanya.


Artikel ini disediakan oleh Team AC



Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More