Saturday, February 5, 2011

Lima penyelidik USM diiktiraf dunia

DR. Ramli Saad (tiga dari kiri) dan Jahangir Kamaldin (tiga dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada empat penerima Sijil Pentauliahan Pengamal Sistem Pengekodan Riak Wajah di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

KEPALA BATAS 1 Feb. - Lima penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia (IPPT-USM) mengharumkan nama negara apabila terpilih sebagai penerima Sijil Pentauliahan Pengamal Sistem Pengekodan riak wajah (FACS) daripada Universiti Innsbruck, Austria.

Lebih membanggakan, mereka merupakan kumpulan penyelidik pertama dari Asia Tenggara menerima sijil pengiktirafan seumpama itu.

Mereka ialah Siti Maisura Azmi, 27; Siti Zuraimi Salleh, 27; B. Sudha, 26, dan N. Prabadevi, 26, dari bahagian Kluster Penyelidikan Sains Tingkahlaku dan Sains Otak (BSBS) dan seorang lagi, Norliza Abu Sema iaitu seorang penyelidik dari bahagian Klinikal Onkologi.

Ketua Bahagian BSBS, Jahangir Kamaldin berkata, kesemua mereka dipilih setelah mendapat keputusan lulus lebih 80 peratus dalam peperiksaan amali yang dikendalikan oleh universiti berkenaan pada Julai tahun lalu.

"Dengan pengiktirafan ini, ia membuka mata termasuk di peringkat antarabangsa tentang keupayaan penyelidik tempatan khususnya dari USM.

"Ia membolehkan kami membuat lebih banyak kajian mengenai perubahan wajah seseorang menerusi deria sebagai usaha mencari kaedah rawatan kesihatan lebih murah," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penganugerahan tersebut yang disempurnakan Pengarah IPPT-USM, Dr. Ramli Saad, di sini baru-baru ini.

Menurut Jahangir, kluster BSBS di IPPT-USM diwujudkan sejak 2009 lagi bagi menjalankan penyelidikan berasaskan deria kerana berdasarkan kajian, deria mampu menjadi agen ke arah menceriakan seseorang pesakit.

"Bagi menjayakan usaha itu, kami merancang untuk menyediakan satu pangkalan data khas bagi menunjukkan bahawa perubahan emosi menerusi deria mampu menyembuhkan penyakit," katanya.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More