Sunday, January 16, 2011

Sesi Kemasukan Baru IPTA Ditetapkan 2 - 7 Sept

GEORGE TOWN: Pendaftaran pelajar bagi sesi akademik 2011 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diadakan antara 2 dan 7 September ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor IPTA Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat antara naib-naib canselor IPTA semalam.

"Pihak IPTA diberi kebebasan untuk membuat pendaftaran pelajar baru antara 2 September hingga 7 September ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Perutusan Tahunan Naib Canselor USM di sini, hari ini.

Beliau berkata untuk permulaan, perubahan itu pastinya akan menimbulkan sedikit kesukaran kepada pihak universiti.

"Dalam semua perubahan mesti ada kesusahan. Sesi kali ini sahaja akan sukar sedikit. Tahun depan akan lebih mudah selepas sistem baru itu diselaraskan," katanya.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penyelarasan kalendar akademik IPTA negara akan dilakukan secara berperingkat bermula sesi akademik 2011/2012 dan dijangka beralih sepenuhnya pada sesi akademik 2013/2014.

Penyelarasan itu akan menyaksikan tarikh pendaftaran pelajar baru dianjakkan dua minggu ke hadapan pada setiap sesi akademik yang akhirnya akan bermula pada September berbanding Jun sebelum ini.

Mohamed Khaled berkata, antara rasional anjakan kalendar akademik ini adalah bagi memenuhi konsep perkongsian ilmu dengan masyarakat antarabangsa.


UUM Tuan Rumah Festival Filem Dan Video Pelajar Malaysia Mac Ini

KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menjadi tuan rumah Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia ke-lapan (FFVPM) dari 2 hingga 6 Mac ini.

Festival anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu dijangka akan disertai oleh pelajar-pelajar bidang perfileman dari IPTA dan IPTS seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Finas Fatimah Ahmad berkata cetusan idea memperkenalkan FFVPM pada dasarnya pertujuan menggalak penghasilan kerja kreatif yang bermutu tinggi di kalangan para pelajar dalam bidang penghasilan filem,komunikasi dan multimedia.

"Ia juga bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap hasil karya para pelajar. FFVPM ini selaras dengan usaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melahirkan generasi muda yang hebat berkarya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat festival bertema 'Cendekia Senima ke Persada Dunia' itu di sini, Khamis.

Katanya 11 kategori dipertandingkan pada festival itu, termasuk Filem Terbaik, Video Klip Terbaik, Anugerah Pengarah Terbaik, Anugerah Penyunting Terbaik, Filem Animasi dan Anugerah Grafik Terbaik.

Selain itu, beberapa aktiviti menarik turut diatur sepanjang FFPVM, seperti pameran, forum diskusi dan dua seminar yang akan membincangkan topik isu semasa Industri Filem tanah air.

"Dan julung kalinya, satu konvesyen yang akan mengumpulkan seniman-seniman filem dan pakar-pakar bidang perfileman tanah air dan luar negara akan diadakan pada hari terakhir festival," katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan cek sumbangan RM100,000 kepada UUM sebagai bantuan bagi menjayakan festival itu, selain Finas turut akan memberi bantuan teknikal dan khidmat nasihat.

Menurutnya, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dijangka akan merasmikan festival itu pada majlis penutup dan peyampaian anugerah FFPVM. - BERNAMA


Angkasa Tawar Biasiswa Kepada Pelajar IPTA Mulai Mei

KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan memberikan biasiswa kecemerlangan kokurikulum yang pertama kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mulai sesi pengajian Mei ini.

Presidennya Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata biasiswa tersebut akan ditawarkan kepada 16 orang pelajar di peringkat permulaan.

"Ini bermakna setiap Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) termasukPahang (yang dibahagikan kepada tiga zon yang dipanggil Perhubungan Negeri) akanmendapat kuota seorang pelajar bagi setiap JPAN," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata bilangan bissiswa tersebut akan bertambah pada masa akan datang sesuai dengan keupayaan pembiayaannya.

"Biasiswa kokurikulum ini ditawarkan kepada pelajar IPTA cemerlang dalam aktiviti koperasi sebagai pengiktirafan kepada mereka yang memberikan sumbangan besar kepada koperasi yang mereka anggotai," katanya.

Mohd Ali berkata, koperasi sekolah di seluruh negara boleh mengemukakan calon yang layak untuk menerima biasiswa ini bagi pemilihan calon anugerah tersebut dan pada masa yang sama pelajar berkenaan mestilah diterima memasuki ke IPTA dan turut cemerlang dalam bidang akademiknya.

"Mereka sewajarnya diberikan pembiayaan pelajaran di peringkat pengajian tinggi supaya terus aktif dalam kegiatan koperasi semasa di pusat pengajian tinggi iaitu menganggotai Koperasi Siswa (Kosiswa) dan mendalami ilmu koperasi agar Gerakan Koperasi negara terus maju dan cemerlang," katanya.

Selain itu, katanya Angkasa juga kini menganjurkan pelbagai program koperasisekolah supaya boleh menilai pelajar yang akan dicalonkan untuk menerima anugerah biasiswa ini.

"Program ini memperlihatkan usaha Angkasa menerapkan semangat berkoperasi di kalangan pelajar.

"Malah kini Gerakan Koperasi Sekolah Malaysia telah diiktiraf sebagai Gerakan Koperasi Sekolah terbaik di dunia oleh Ikatan Koperasi Antarabangsa," katanya. - BERNAMA


Perhimpunan Mahasiswa 11 Januari Ini

KUALA LUMPUR: Satu perhimpunan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta akan diadakan pada 11 Januari ini sebagai saluran bagi mereka menyuarakan isu serta masalah yang dihadapi.

Wakil penganjur Lydia Natasha Azuar Jimin, 23, berkata perhimpunan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 300 mahasiswa dan akan menggunakan pendekatan 'Parlimen Pelajar' dengan setiap masalah yang diperdengarkan kepada hadirin akan cuba diselesaikan setelah satu keputusan dicapai menerusi undian majoriti.

Perhimpunan itu yang akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor bermatlamat memperkasakan gerakan mahasiswa agar lebih berani dan lantang dalam memperjuangkan hak mereka tanpa perlu campur tangan pihak lain, katanya pada satu sidang akhbar hari ini.

"Kami sudah cukup matang untuk membuat keputusan dan mencari jalan penyelesaian sendiri kepada setiap masalah tanpa melibatkan pihak lain.

"Kami sangat mengalu-alukan suara para mahasiswa pada hari tersebut dan atas semangat solidariti setiap masalah akan cuba atasi," kata mahasiswa jurusan A Level Undang-Undang dari Kolej Universiti Help.

Lydia Natasha Azuar berkata mahasiswa yang berhasrat menyertai perhimpunan itu boleh mendaftar dan mendapatkan keterangan lanjut di laman web www.pmn2011.com. -BERNAMA


USM Sedia Bantu Pembangunan Di Palestin

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia untuk membantu kerajaan Palestin dalam membangunkan terutamanya sektor pendidikan di negara tersebut.

Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata pertolongan USM bukan sahaja dalam soal pendidikan tetapi dalam pelbagai bidang lain yang USM mempunyai kepakaran dan pengalaman.

Beliau pada Khamis menyaksikan telesidang video mengenai kerjasama dan inisiatif menyeberangi sempadan antara Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dengan Timbalan Menteri Pendidikan Palestin, Dr Ziad Thabit.

Dzulkifli berkata USM sedang dalam proses menghantar sekumpulan wakil ke Gaza untuk mengukuhkan komitmen tersebut.

"Kami merancang kunjungan ke Gaza untuk membincangkan kemungkinan kerjasama yang dijadual Mac ini," katanya. - BERNAMA


Wednesday, December 15, 2010

Dua Beradik Cacat Terima Kerusi Roda PADUCare

JAFRI Malim Abdullah menyampaikan kerusi roda khas kepada Farawahida Mohd. Zain di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam

BACHOK 14 Dis. – Seorang ibu, Farawahida Mohd. Zain, 34, dari Kampung Tualang Salak di sini, sudah tidak mampu lagi mengalirkan air mata menangisi keadaan dua daripada tiga anaknya yang disahkan mengidap sejenis penyakit metabolik iaitu kerosakan enzim tisu .

Jika kanak-kanak lain seusia dengan mereka sudah bersekolah, tetapi anak sulung Farawahida, Wan Ahmad Baihaqi Wan Hisamidi, 10, hanya mampu terbaring sambil memain-mainkan jari-jarinya sahaja.

Pada ketika lain, dia kelihatan tersenyum dan manja apabila berada di atas ribaan ibunya itu.

Sementara adiknya, Wan Arfah Julaizah, 4, hanya terbaring dan sesekali cuba meniarap seolah-olah seperti bermain-main, bagaimanapun seorang lagi adiknya, Wan Fawawaz Al-Mathuridi, 2, disahkan normal.

Akibat penyakit yang disahkan sejak lahir itu, kedua-dua beradik cacat penglihatan kerana tidak mempunyai selaput mata, bisu, tidak boleh duduk atau berdiri di samping mengalami bantut pertumbuhan tubuh.

Farawahida kerap sayu melihat keadaan kedua anaknya itu, terutama pada waktu hendak tidur, dia pasti teringatkan bagaimana keadaan mereka apabila remaja kelak.

Namun, walaupun mengalami pelbagai kecacatan, kedua-dua beradik itu sebenarnya masih seperti kanak-kanak lain iaitu suka bergurau-senda dan ceria ketika dibawa bersiar-siar.

“Apabila disuap dengan makanan kegemaran mereka iaitu ayam goreng terutama KFC pula, Wan Ahmad Baihaqi dan Wan Arfah Julaizah pasti menunjukkan air muka kegembiraan.

“Dalam apa jua keadaan, saya tidak membezakan kedua-duanya. Saat paling ceria buat mereka selepas dimandikan pada waktu pagi dan petang serta disuapkan makan,” katanya.

Farawahida ditemui semasa menerima dua buah kerusi roda khas berharga RM3,200 sumbangan Tabung Kebajikan dan Pendidikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADUcare) di sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Presiden Persatuan Alumni Doktor USM (PADU), Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah.

Sementara itu, Dr. Jafri Malin berkata, sejak 2001, Tabung PADUcare membelanjakan lebih RM500,000 bagi membiayai pembelian pelbagai peralatan untuk membantu 250 orang pesakit.

SUMBER : Utusan Malaysia, 15 Disember 2010



Pakar USM Terima Anugerah Tertinggi Klinikal ACE

Prof. Dr. Datuk Wan Mohamad Wan Bebakar

KOTA BHARU 7 Dis. - Universiti Sains Malaysia (USM) mencatatkan sejarah tersendiri apabila untuk julung kalinya, seorang pakar perubatan universiti itu menerima Anugerah Klinikal Antarabangsa 2010 daripada American College of Endocrinologist (ACE), baru-baru ini.

Pakar tersebut, Perunding Kanan Endokrinologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Prof. Dr. Datuk Wan Mohamad Wan Bebakar menerima anugerah yang disampaikan oleh bekas Pengerusi ACE, Prof. Dr. Hussein Gharib di Kuala Lumpur.

Penganugerahan itu dibuat sempena Kongres ACE ke-14 dan ini merupakan kali pertama kolej berkenaan memberikan anugerah berprestij tersebut kepada seorang pakar dalam bidang endokrin dari Asia.

Pemilihan Dr. Wan Mohamad dibuat mengambil kira sumbangan beliau dalam meningkatkan perkhidmatan rawatan pesakit endokrin di negara ini dan Asia umumnya.

Kepakaran beliau dalam bidang berkenaan telah membolehkannya memberikan pendidikan berterusan dan latihan berkaitan kepada kakitangan dan pegawai perubatan di hospital-hospital.

Malah, kepakaran beliau dalam bidang tersebut turut membolehkannya menerbitkan jurnal dan buku perubatan mengenai rawatan penyakit berkenaan.

Dr. Wan Mohamad ketika dihubungi Utusan Malaysia menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan ACE terhadap penglibatan dan kepakarannya dalam bidang endokrin.

"Saya akan meneruskan penyelidikan dalam bidang itu supaya penyakit berkenaan dapat dicegah di samping meningkatkan kesedaran orang ramai dalam penjagaan serta rawatannya," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau turut berharap anugerah yang diberikan itu menjadi dorongan kepada pakar-pakar tempatan yang terlibat sama dalam bidang berkenaan supaya meneruskan usaha murni mereka untuk membantu pesakit, seterusnya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, masih banyak yang perlu dilakukan oleh pakar-pakar bidang endokrin dalam meningkatkan penyelidikan mereka supaya kelak hasil yang diperolehi dapat digunakan untuk membantu pesakit yang sangat mengharapkan bantuan.

Tambahan pula katanya, akhir-akhir ini terdapat banyak sebab yang menjadi punca kepada penyakit tersebut.

"Kemajuan dan hasil penyelidikan yang dicapai diharap dapat mengatasi masalah penyakit tersebut bagi membolehkan pesakit menjalani kehidupan lebih baik pada masa hadapan," katanya.

SUMBER : Utusan Malaysia, 8 Disember 2010


4 Pelajar USM Dihargai

PULAU PINANG 14 Dis. - Seramai empat pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menerima Anugerah Naib Canselor bagi mengiktiraf pengetahuan dan penyelidikan yang dijalankan oleh mereka di universiti itu.

Mereka ialah Lim Way Foong dan Quah Hock Jin dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Chang Kah Haw dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan serta Lam Man Kee dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.

Mereka bakal menerima pembiayaan yuran pengajian penuh dan peperiksaan untuk tempoh maksimum selama tiga tahun serta elaun bulanan berjumlah RM3,000.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pada majlis Malam Persada Kencana yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Way Foong ketika ditemui berkata, anugerah yang diterimanya itu merupakan hasil kesungguhan beliau untuk maju dalam hidupnya terutama mencapai kedudukan terbaik dalam akademik dan penyelidikan.

''Saya amat menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak universiti.

''Dengan anugerah yang diterima ini saya berjanji akan melakukan kerja bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang dalam bidang penyelidikan berkuasa tinggi yang sedang saya jalankan dalam tempoh dua tahun ini," katanya.

Menurutnya, penyelidikannya bertajuk 'Investigation of CexLayOz Thin Film On SIC' itu bertujuan untuk mencari bahan baru yang boleh digunakan di dalam aplikasi peralatan elektrik berkuasa tinggi yang sekali gus dapat mengurangkan kehilangan tenaga.

Rakannya, Kah Haw pula berkata, bantuan kewangan yang bakal diterima akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan membeli bahan-bahan bacaan berkaitan bidang sains forensik.

''Saya menjalankan kajian terhadap kesan sisa-sisa lepasan tembakan senjata api yang boleh membantu pihak Polis dan Jabatan Kimia menjalankan siasatan.

''Dengan bantuan yang saya terima ini pastinya ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan yang saya tanggung di sepanjang tempoh pengajian ini," katanya.

SUMBER : Utusan Malaysia, 15 Oktober 2010


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More