Wednesday, December 15, 2010

Pakar USM Terima Anugerah Tertinggi Klinikal ACE

Prof. Dr. Datuk Wan Mohamad Wan Bebakar

KOTA BHARU 7 Dis. - Universiti Sains Malaysia (USM) mencatatkan sejarah tersendiri apabila untuk julung kalinya, seorang pakar perubatan universiti itu menerima Anugerah Klinikal Antarabangsa 2010 daripada American College of Endocrinologist (ACE), baru-baru ini.

Pakar tersebut, Perunding Kanan Endokrinologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Prof. Dr. Datuk Wan Mohamad Wan Bebakar menerima anugerah yang disampaikan oleh bekas Pengerusi ACE, Prof. Dr. Hussein Gharib di Kuala Lumpur.

Penganugerahan itu dibuat sempena Kongres ACE ke-14 dan ini merupakan kali pertama kolej berkenaan memberikan anugerah berprestij tersebut kepada seorang pakar dalam bidang endokrin dari Asia.

Pemilihan Dr. Wan Mohamad dibuat mengambil kira sumbangan beliau dalam meningkatkan perkhidmatan rawatan pesakit endokrin di negara ini dan Asia umumnya.

Kepakaran beliau dalam bidang berkenaan telah membolehkannya memberikan pendidikan berterusan dan latihan berkaitan kepada kakitangan dan pegawai perubatan di hospital-hospital.

Malah, kepakaran beliau dalam bidang tersebut turut membolehkannya menerbitkan jurnal dan buku perubatan mengenai rawatan penyakit berkenaan.

Dr. Wan Mohamad ketika dihubungi Utusan Malaysia menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan ACE terhadap penglibatan dan kepakarannya dalam bidang endokrin.

"Saya akan meneruskan penyelidikan dalam bidang itu supaya penyakit berkenaan dapat dicegah di samping meningkatkan kesedaran orang ramai dalam penjagaan serta rawatannya," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau turut berharap anugerah yang diberikan itu menjadi dorongan kepada pakar-pakar tempatan yang terlibat sama dalam bidang berkenaan supaya meneruskan usaha murni mereka untuk membantu pesakit, seterusnya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, masih banyak yang perlu dilakukan oleh pakar-pakar bidang endokrin dalam meningkatkan penyelidikan mereka supaya kelak hasil yang diperolehi dapat digunakan untuk membantu pesakit yang sangat mengharapkan bantuan.

Tambahan pula katanya, akhir-akhir ini terdapat banyak sebab yang menjadi punca kepada penyakit tersebut.

"Kemajuan dan hasil penyelidikan yang dicapai diharap dapat mengatasi masalah penyakit tersebut bagi membolehkan pesakit menjalani kehidupan lebih baik pada masa hadapan," katanya.

SUMBER : Utusan Malaysia, 8 Disember 2010


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More