Wednesday, December 15, 2010

4 Pelajar USM Dihargai

PULAU PINANG 14 Dis. - Seramai empat pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menerima Anugerah Naib Canselor bagi mengiktiraf pengetahuan dan penyelidikan yang dijalankan oleh mereka di universiti itu.

Mereka ialah Lim Way Foong dan Quah Hock Jin dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Chang Kah Haw dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan serta Lam Man Kee dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.

Mereka bakal menerima pembiayaan yuran pengajian penuh dan peperiksaan untuk tempoh maksimum selama tiga tahun serta elaun bulanan berjumlah RM3,000.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pada majlis Malam Persada Kencana yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Way Foong ketika ditemui berkata, anugerah yang diterimanya itu merupakan hasil kesungguhan beliau untuk maju dalam hidupnya terutama mencapai kedudukan terbaik dalam akademik dan penyelidikan.

''Saya amat menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak universiti.

''Dengan anugerah yang diterima ini saya berjanji akan melakukan kerja bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang dalam bidang penyelidikan berkuasa tinggi yang sedang saya jalankan dalam tempoh dua tahun ini," katanya.

Menurutnya, penyelidikannya bertajuk 'Investigation of CexLayOz Thin Film On SIC' itu bertujuan untuk mencari bahan baru yang boleh digunakan di dalam aplikasi peralatan elektrik berkuasa tinggi yang sekali gus dapat mengurangkan kehilangan tenaga.

Rakannya, Kah Haw pula berkata, bantuan kewangan yang bakal diterima akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan membeli bahan-bahan bacaan berkaitan bidang sains forensik.

''Saya menjalankan kajian terhadap kesan sisa-sisa lepasan tembakan senjata api yang boleh membantu pihak Polis dan Jabatan Kimia menjalankan siasatan.

''Dengan bantuan yang saya terima ini pastinya ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan yang saya tanggung di sepanjang tempoh pengajian ini," katanya.

SUMBER : Utusan Malaysia, 15 Oktober 2010


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More