Wednesday, October 27, 2010

PTPTN boleh guna dokumen perjanjian

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelaskan pemberian wang pinjaman pendahuluan (WPP) yang diagihkan kepada pelajar menggunakan dokumen perjanjian boleh digunakan bagi tujuan perundangan untuk menuntut bayaran balik pinjaman.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata dokumen berkenaan mengandungi semua syarat termasuk membayar balik WPP sebelum pelajar boleh menunaikan pinjaman itu di CIMB Bank.

“Pemberian WPP bertujuan membantu pelajar keluarga miskin atau pendapatan kurang RM3,000 sebulan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ia diberi berasaskan data permohonan kemasukan ke IPTA yang diperoleh daripada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) bagi kemasukan Julai dan Disember setiap tahun.

“Walaupun pemberian WPP tidak menggunakan perjanjian, pelajar disyaratkan menandatangani surat setuju terima ketika menunaikan waran WPP,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang mendedahkan pinjaman berjumlah RM4.9 juta diluluskan PTPTN tanpa permohonan pelajar. Selain isu WPP, Audit mendapati 187,540 set dokumen perjanjian PTPTN 2008 dan 2009 belum diproses atau ditandatangani pegawai perbadanan itu.

Ismail berkata, selaras cadangan Audit, PTPTN akan berbincang dengan IPTA untuk memasukkan kenyataan pelajar mahu memohon WPP ketika mengisi borang permohonan ke universiti.

Berhubung kelewatan memproses dokumen perjanjian PTPTN, beliau berkata, ia tidak dapat diproses berikutan sistem pengurusan dokumen mengalami masalah teknikal.

Katanya, menerusi penubuhan pasukan khas pada 27 September lalu, urusan tandatangan kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk dokumen perjanjian itu dapat disiapkan.

“Usaha sedang dilakukan untuk membolehkan tandatangan saksi kumpulan Sokongan 1 disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan dari sekarang. Apabila urusan tandatangan selesai, satu salinan dokumen perjanjian akan dihantar kepada pelajar untuk simpanan,” katanya.

Beliau juga berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan prestasi kutipan balik pinjaman PTPTN dan sehingga 31 Ogos lalu, sejumlah RM1.9 bilion atau 48 peratus daripada RM4 bilion berjaya dikutip.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More