Friday, October 29, 2010

Mahasiswa Dipelawa Sertai Lawatan Sambil Belajar Ke Amerika Syarikat

Kuala Lumpur, 29 Oktober (Bernama) - Kedutaan Amerika Syarikat di sini dan Biro Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan Jabatan Negara Amerika Syarikat mempelawa permohonan daripada mahasiwa tempatan untuk menyertai program lawatan sambil belajar ke negara itu selama empat minggu.

Program lawatan itu diadakan bagi mengkaji isu alam sekitar global yang dianjurkan oleh Pusat Timur-Barat di Honolulu, Hawaii, menurut kenyataan kedutaan di sini.

"Sepanjang tempoh empat itu peserta akan mengikuti program pengajian seimbang terdiri daripada seminar, perbincangan, bacaan, persembahan berkumpulan dan kuliah," katanya.

Program itu turut melibatkan lawatan sambil belajar selama empat hari ke San Francisco, California, di mana peserta akan dibawa bertemu dengan penduduk tempatan, kerajaan negeri, swasta dan badan bukan kerajaan yang terbabit dalam bidang itu.

Penutup program itu, peserta akan dibawa ke Washington selama tiga hari.

Kedutaan berkata pemohon mestilah seorang yang bermotivasi tinggi dan merupakan pelajar contoh berusia antara 18 hingga 25 tahun dari kolej, universiti dan institusi pendidikan tinggi yang lain.

"Manakala semua calon mesti mempunyai minat yang mendalam dalam bidang alam sekitar, pengajian mereka boleh terdiri daripada pelbagai bidang seperti Pertanian, Bilogi, Ekopelancongan, Kejuruteraan, Undang-undang Alam Sekitar, Sains Alam Sekitar, Perhubungan Antarabangsa, Polisi Awam, Pembangunan Mampan dan lain-lain," katanya.

Tarikh tutup permohonan pada 15 Disember depan dan butiran lanjut program boleh diperolehi dengan melayari http://malaysia.usembassy.gov.

Maklumat juga boleh diperolehi dari Helena Bridget, Penolong Hal Ehwal Kebudayaan, Kedutaan Amerika Syarikat di talian 03-21685106, fax : 03-21685158 atau e-mel kepada Public AffairsKL@state.gov. -Bernama.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More