Friday, January 28, 2011

USM tawar 120 tempat di India

PULAU PINANG 27 Jan. - Universiti Sains Malaysia menawarkan 120 tempat kepada penuntut baru yang mengikuti kursus ijazah doktor perubatan untuk melanjutkan pengajian di Belgaum, Bangalore, India.

Naib Canselornya, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, mereka yang bakal terpilih merupakan kumpulan kedua dihantar ke sana menerusi program kerjasama USM dengan Universiti Karnataka Linggayat Education (KLE).

"Kali pertama kumpulan pelajar dihantar ke sana adalah pada September tahun lalu yang melibatkan seramai 43 orang pelajar.

"Tahun ini kita ingin menghantar lebih ramai pelajar memandangkan kemudahan pembelajaran dan tempat tinggal yang disediakan di sana baik dan mencukupi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, pengalaman KLE terlibat dalam pendidikan perubatan selama 95 tahun sudah cukup membuktikan standard kualiti yang disediakan di situ.

"Di sini juga mempunyai hospital latihan sendiri yang boleh memuatkan 500 katil, selain turut menggunakan hospital-hospital terdekat untuk tujuan latihan," katanya lagi.

Permohonan untuk mengikuti pengajian ini akan dibuka pada 12 Mac sehingga 25 Mei ini.

Orang ramai yang berminat boleh melayari laman web USM, www.usm.my untuk mendapatkan maklumat lanjut serta syarat-syarat kelayakan.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More