Wednesday, September 29, 2010

Anjung Semarak jadi pusat ilmu

PULAU PINANG 28 Sept. - Universiti Sains Malaysia (USM) yakin pembukaan kafe 'Anjung Semarak' di tengah-tengah pusat pengajian itu berpotensi menjadi ikon keilmuan yang boleh dicontohi oleh institusi pengajian tinggi lain di negara ini berikutan gabungan keunikan konsepnya.

Naib Canselornya, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, Anjung Semarak bukan sekadar menghidangkan juadah kepada pengunjung Taman Buku USM (Book Garden) yang terkenal sebagai pembekal buku-buku ilmiah untuk keperluan warga universiti, malah menjadi lokasi penganjuran aktiviti keilmuan dalam pelbagai bidang.

''Aktiviti ini boleh dipelbagaikan seperti diskusi buku, forum mini, deklamasi sajak, puisi serta sudut pameran hasil seni yang mampu menjadikan mereka yang mengunjunginya sentiasa dekat dengan ilmu.

''Jika ini boleh kita lakukan, Anjung Semarak mampu menjadi ikon ilmu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada mahasiswa dan staf universiti ini malahan semua anggota masyarakat yang berkunjung ke kampus ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Anjung Semarak di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, perjanjian persefahaman (MoU) di antara Koperasi Universiti Sains Malaysia Berhad (KUSMB) dengan Pusat Giat Mara Balik Pulau dan syarikat pembekal makanan, AZLA Management Sdn. Bhd. turut dimeterai.

Ia bertujuan memastikan operasi kafe terbabit lancar dari aspek penyediaan kepakaran memasak dan penyediaan serta bahan mentah.

USM diwakili Pengerusi Lembaga Pengarah KUSMB, Prof. Madya Mohamad Suhaimi Jaafar manakala GiatMara oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meriyam Abd. Majid dan AZLA pula, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Latif Nabi Bas.

Anjung Semarak diusahakan oleh KUSMB yang turut menjadi pengusaha Taman Buku, Kedai Mahasiswa dan Kedai Farmasi USM.

Menurut Dzulkifli, lokasi Anjung Semarak yang strategik jika digabung dengan unsur-unsur berteraskan keilmuan akan memberikan persaingan yang sengit kepada lokasi-lokasi lain di sekitarnya, sekali gus menjadikan industri penyediaan makanan lebih kreatif dan sentiasa mencari jalan untuk lebih maju ke hadapan.

Tambah beliau, selain terletak di lokasi persinggahan mahasiswa, Anjung Semarak juga berada di sebelah Pusat Pengajian Seni USM yang secara tidak langsung membolehkan hasil seni mahasiswa dipamerkan untuk tatapan umum.

''Usaha ini akan menggiatkan lagi produk yang dihasilkan oleh mahasiswa di USM kerana mereka tahu hasil karya mereka ini tidak akan hanya tersorok di ruang-ruang pameran malah akan dikongsi bersama masyarakat," katanya.


Wednesday, September 22, 2010

Nicol Juara Dunia Lima Kali

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Datuk Nicol David sekali lagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila menjuarai Terbuka Wanita Dunia sebanyak lima kali di Soho Square, Sharm El Sheikh, Mesir, pagi ini (waktu Malaysia).

Ratu skuasy negara itu mudah menumbangkan pemain tempatan, Omneya Abdel Kawy yang juga pilihan keempat kejuaraan, 11-5, 11-8, 11-6 dalam masa 30 minit.

Kejayaan pemain yang digelar Duracell Bunny itu sekali gus menyamai rekod juara terbanyak Terbuka Wanita Dunia lima kali yang dipegang Sarah Fitz-Gerald, 41, dari Australia yang bersara lapan tahun lalu.

Fitz-Gerald memegang rekod juara Skuasy Terbuka Wanita Dunia paling banyak dengan lima kali (1996, 1997, 1998, 2001 dan 2002).

Nicol pula pernah menjadi juara dunia pada 2005, 2006, 2008 dan 2009. - Agensi


* Nicoll Ann David pernah menerima anugerah khas kecemerlangan sukan dari USM dua tahun yang lepas.


Parlimen Mahasiswa Bakal Bersidang

Minden : Universiti Sains Malaysia, IPT berstatus APEX pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, bakal mengorak satu lagi langkah gemilang apabila Parlimen Mahasiswa yang diuar-uarkan sejak setahun yang lalu akan mula bersidang secara tidak rasmi pada 25hb September ini.

Bakal bersidang di Dewan Persidangan Universiti, sesi percubaan ini akan membabitkan 39 orang wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar USM dan 19 orang wakil daripada persatuan-persatuan dan kelab dari ketiga-tiga kampus USM.

Menurut sumber yang dipetik daripada weblog USM Daily, persidangan julung-julung kali ini akan bermula pada jam 8.30 pagi dan dijangkakan berakhir pada sebelah petangnya di mana semua perwakilan akan membahaskan usul-usul yang diterima daripada kalangan siswa-siswi USM sendiri.

Proses mengumpul usul juga sedang giat dijalankan ketika ini di mana wakil-wakil daripada MPP telah menguar-urakannya di laman sosial masing-masing. Setiap pelajar digalakkan membuat usul berdasarkan isu-isu semasa sebelum dikumpulkan oleh MPP untuk dibentangkan kelak.

Dalam pada itu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan Parlimen Mahasiswa ini juga memaklumkan seramai 40 orang pelajar USM yang mendaftarkan diri mereka sebagai pemerhati akan turut serta dalam persidangan percubaan tersebut.


Sunday, September 19, 2010

Tokotrienol sawit beroperasi ubati NAFLD

Pulau Pinang: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, kagum dengan kejayaan kajian usaha sama MPOB dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia (USM) merawat penyakit kronik Non-Alcoholic Fatty Liver Disease (NAFLD).

Beliau berkata demikian sewaktu membuat lawatan dan mendengar taklimat berkaitan kajian yang dijalankan itu oleh penyelidik Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM, di sini, baru-baru ini. Turut sama Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Mphd Basri Wahid.

Sumber : Berita Harian, 4 september 2010, ms 3, Keluaran Khas


Peluang mahasiswa USM belajar di Switzerland

PULAU PINANG 14 Sept. - Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) khususnya peringkat ijazah tinggi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) kini berpeluang menyambung pengajian ke Switzerland.

Mereka yang terpilih akan mengikuti pengajian di Universiti Fribourg (UniFr) menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua universiti.

Dekan PPSK, Profesor Madya Ismail Baba berkata, sekurang-kurangnya tiga mahasiswa akan dihantar ke sana setiap tahun bergantung pada perbincangan lanjut antara kedua-dua pihak.

"Kita dimaklumkan UniFr sedang mempertimbangkan penawaran biasiswa kepada mahasiswa kita untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

"Ini adalah peluang terbaik bagi membolehkan mahasiswa kita menimba pengalaman belajar di sebuah universiti luar negara," katanya selepas Majlis Pemeteraian MoU antara USM dan UniFr di sini, baru-baru ini.

USM diwakili Naib Canselornya, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak manakala UniFr oleh Pengarah Kursi Pengajian Antropologi Sosial, Profesor Christian Fiordano.


Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More